KUALA LUMPUR: Majlis Belia Wilayah Persekutuan (MBWP) mengetengahkan dua gagasan berimpak tinggi, Batik Seri MADANI dan Malaysia Film Industry Expo (MFIX), bagi membuka lebih banyak peluang pekerjaan, mengkomersialkan karya tempatan serta memperkasa belia sebagai pemilik ekonomi kreatif negara.
Presiden MBWP, Khairul Rizam Abu Samah berkata kedua-dua gagasan itu dibangunkan bagi memastikan belia bukan sekadar menjadi tenaga kerja dalam sektor kreatif, sebaliknya berperanan sebagai pengusaha, pemilik harta intelek (IP) dan rakan strategik industri.
Beliau berkata cadangan berhubung pelaksanaan kedua-dua inisiatif itu telah dibentangkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sempena Majlis Perasmian Menara Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) pada Isnin lepas.
“Fokus utama kita adalah membina jambatan daripada bakat kepada pekerjaan, dan daripada idea kepada pasaran. Kerjasama antara kerajaan, penggiat industri dan belia akan memastikan ekosistem ini kekal mampan serta memberi pulangan ekonomi nyata kepada negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Khairul Rizam, yang juga Presiden Pertubuhan Belia Kreatif Malaysia (BeKreatif), berkata MBWP turut berbesar hati dengan kesudian Perdana Menteri mengunjungi reruai MBWP pada majlis berkenaan bagi mendapatkan penerangan mengenai konsep, cadangan pelaksanaan dan sasaran impak kedua-dua gagasan itu.
Menurutnya, MFIX dicadangkan sebagai hab ekosistem nasional dan platform digital yang menghubungkan pencipta kandungan, juruvideo, animator serta penggiat teknikal belia secara langsung dengan penerbit, pelabur dan pembeli kandungan antarabangsa.
“Platform itu turut menyediakan portal pekerjaan, latihan industri dan 'pitching hub' bagi membantu bakat muda mendapatkan peluang serta mengembangkan hasil kreativiti mereka ke peringkat lebih luas,” katanya.
Sementara itu, Batik Seri MADANI merupakan inisiatif pemerkasaan warisan yang menggabungkan teknik batik blok tradisional dengan reka bentuk kontemporari, teknologi digital serta nilai teras Malaysia MADANI.
Khairul Rizam menjelaskan pendekatan itu berpotensi melahirkan lebih ramai pembatik muda, pereka, usahawan kreatif dan pengusaha yang mampu membawa produk batik Malaysia ke pasaran lebih luas.
Beliau berkata MBWP komited bekerjasama dengan Kementerian Komunikasi, Finas, institusi pendidikan dan sektor swasta bagi memastikan kedua-dua inisiatif berkenaan dilaksanakan berdasarkan model yang mempunyai petunjuk prestasi utama (KPI) yang jelas dan telus.
“MBWP percaya komitmen berterusan kerajaan akan mempercepatkan penterjemahan kreativiti anak muda menjadi perniagaan mampan yang menyumbang kepada masa depan ekonomi Malaysia,” katanya.