Skip to main content

Malaysia

SPRM dakwa pendakwah selebriti esok kes seleweng lebih RM12 juta

SINAR HARIAN
Pada 22 April, SPRM Negeri Sembilan dilaporkan menahan seorang pendakwah bebas kerana disyaki menyalahgunakan kuasa dan menyeleweng dana sebuah NGO berjumlah kira-kira RM12.3 juta untuk kepentingan peribadi. - Gambar fail/Sinar Harian
Advertisement

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan mendakwa seorang pengerusi pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang juga pendakwah selebriti, berhubung kes penyelewengan dana bernilai lebih RM12 juta. 

Turut akan didakwa ialah setiausaha NGO berkenaan.

Menurut jemputan media yang diedarkan hari ini, pendakwaan terhadap kedua-dua individu berusia 30-an itu akan dilakukan di Mahkamah Sesyen Seremban, Negeri Sembilan pada 9 pagi.

Pada 22 April, SPRM Negeri Sembilan dilaporkan menahan seorang pendakwah bebas kerana disyaki menyalahgunakan kuasa dan menyeleweng dana sebuah NGO berjumlah kira-kira RM12.3 juta untuk kepentingan peribadi.

Susulan siasatan tersebut, SPRM Negeri Sembilan membekukan 15 akaun terdiri daripada tiga akaun bank persendirian, tiga akaun bank NGO dan sembilan akaun bank syarikat dengan nilai berjumlah kira-kira RM16.5 juta.

Selain itu, SPRM menyita wang tunai sebanyak RM6,576 serta mata wang asing Riyal 95,568 dan Dolar Singapura SGD795.

Turut disita, tiga jam tangan bernilai kira-kira RM5,000; tiga beg tangan bernilai kira-kira RM3,000; lima gelang tangan bernilai kira-kira RM26,000; sebentuk cincin bernilai kira-kira RM2,000; seutas rantai bernilai kira-kira RM7,000; dan 51 keping emas seberat satu gram bernilai kira-kira RM31,000.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement