Skip to main content

Malaysia

Penduduk fail saman RM1.3 juta, dakwa projek ECRL jejaskan keselamatan kediaman

ecrl, keselamatan, taman mutiara gombak
Hishamuddin dalam sidang media di kediamannya, pada Ahad.
Advertisement

KUALA LUMPUR: Penduduk Taman Mutiara Gombak 2 memfailkan saman menuntut ganti rugi khas berjumlah RM1.33 juta susulan dakwaan kerosakan kediaman serta risiko keselamatan akibat kerja pembinaan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).

Lt Kol (B) Hishamuddin Jumat mendakwa, beliau memfailkan saman terhadap China Communications Construction (ECRL) Sdn Bhd (CCC), Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) dan Majlis Perbandaran Selayang (MPS).

Katanya, writ saman itu difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Beliau mendakwa, kerja pembinaan yang bermula sejak 2024 menyebabkan kandungan air yang tinggi pada cerun di belakang rumahnya, gegaran yang merosakkan struktur kediaman, pencemaran bunyi dan udara, selain mewujudkan risiko pergerakan tanah serta kegagalan cerun.

Beliau mendakwa telah mengemukakan pelbagai aduan kepada pihak berkuasa termasuk Majlis Perbandaran Selayang (MPS), Kementerian Pengangkutan, Kementerian Alam Sekitar, Pejabat Perdana Menteri, Pejabat Menteri Besar Selangor, MRL dan CCC, namun tiada tindakan konkrit diambil bagi menjamin keselamatan penduduk.

"Kami telah menulis kepada semua pihak berkaitan termasuk MPS dan CEO MRL, namun malangnya mereka tidak pernah turun padang.

"Pada Julai 2024, saya bersama tiga jiran yang terjejas melantik peguam dan mengeluarkan surat tuntutan (LOD) bagi mendapatkan laporan berkaitan projek, namun MRL dan CCC tidak menyerahkan sebarang laporan, malah melalui peguam mereka meminta kami menarik balik LOD tersebut," dakwanya dalam sidang media pada Ahad.

Turut hadir dalam sidang media itu ialah isterinya, Faizah Abdul Jalil, dan seorang lagi penduduk, Dr Ansarutheen Mohiadeen Abdul Kader serta peguam, Ashmadi Othman.

Image
ecrl, keselamatan, taman mutiara gombak
Dari kiri Dr Ansarutheen, Faizah, Hishamuddin dan Ashmadi dalam sidang media pada Ahad.

Pada masa sama, beliau mendakwa kajian geoteknikal dan geologi yang dijalankan secara persendirian oleh pakar bebas mendapati cerun di belakang rumahnya berisiko runtuh dan berpotensi menjejaskan bukan sahaja kawasan perumahan, malah struktur landasan ECRL.

Menurutnya, kajian awal dijalankan selepas usaha mendapatkan maklumat mengenai kestabilan cerun daripada pihak berkaitan sejak 2024 tidak mendapat maklum balas yang memuaskan.

"Hasil laporan geologi mendapati kandungan air dalam cerun sangat tinggi. Laporan itu kami kemukakan kepada MPS pada Disember 2024. Pada awal Januari 2025, MPS bersama wakil CCC datang ke rumah kami dan terkejut dengan dapatan tersebut sebelum mengarahkan CCC menjalankan kajian lengkap mengenai kestabilan cerun," dakwanya.

Bagaimanapun, beliau mendakwa selepas itu, CCC meminta tempoh sebulan untuk melaksanakan kajian, namun tiada perkembangan diterima sehingga Februari dan Mac 2025 sebelum MRL memaklumkan bahawa kajian yang dijalankan mendapati tiada keperluan untuk siasatan lanjut.

Tidak berpuas hati dengan keputusan itu, Hishamuddin mendakwa beliau sekali lagi membiayai sendiri siasatan tapak serta kajian geoteknikal yang lebih terperinci.

"Dapatan laporan menunjukkan kemungkinan cerun di belakang rumah kami runtuh adalah tinggi. Jika ia berlaku, bukan sahaja rumah kami terjejas, malah landasan rel ECRL juga boleh menerima kesan," dakwanya.

Image
ecrl, keselamatan, taman mutiara gombak
Hishamuddin menunjukkan landasan rel ECRL dari rumahnya.

Beliau yang sudah 18 tahun menetap di kediaman itu mendakwa, daripada empat pemilik rumah yang terlibat, hanya beliau meneruskan kajian secara persendirian akibat faktor kekangan kos dan masa.

"Bukan senang nak lalui proses ini. Ia menguji moral kerana kami hanya rakyat biasa yang perlu berdepan dengan tiga pihak (agensi) yang besar," dakwanya lagi.

Beliau mendakwa, beberapa petunjuk seperti pokok yang semakin condong, rekahan pada cerun dan kandungan air yang tinggi menunjukkan keadaan semakin membimbangkan.

"Kami rasa tidak selamat. Mesin basuh yang sebelum ini berada di belakang rumah terpaksa dialihkan ke bahagian hadapan kerana kami tidak berani berada lama di kawasan belakang. Malah kami tidak berani berada lama di dapur kerana bimbang berlaku perkara yang tidak diingini," dakwanya.

Tegasnya lagi, tindakan mengetengahkan perkara itu dibuat kerana mahu isu keselamatan ditangani sebelum berlaku sebarang kejadian yang kemudian mungkin dianggap sebagai bencana alam semata-mata.

Astro AWANI akan mendapatkan maklum balas pihak berkaitan termasuk MRL dan pihak berkuasa berkaitan.

Must Watch Video

Advertisement