KUALA LUMPUR: Nama Kampung Sungai Baru yang terletak di Kampung Baru, Kuala Lumpur kembali hangat beberapa hari lalu selepas penduduk menerima notis mengosongkan rumah, beberapa hari sebelum ketibaan Ramadan.

Kisah tersebut mendapat respons yang pelbagai dan menurut penduduk terlibat, mereka enggan berpindah kerana mendakwa pampasan yang diberikan pemaju tidak setimpal, tidak seperti yang mereka harapkan.

Begitupun, di sebalik bantahan mereka, sebenarnya ada sebahagian penduduk yang tidak membantah pembangunan di kampung tersebut, malah sudahpun bersetuju menerima tawaran daripada pemaju.

Minggu lepas, Astro AWANI melaporkan keluhan beberapa penduduk kampung tersebut yang sedih dan terkejut dengan situasi yang berlaku kepada mereka.

Bagi mereka, surat yang tidak dijangka itu memberi tamparan besar kerana dengan waktu yang singkat, agak sukar untuk mencari rumah baharu bagi berteduh daripada panas dan hujan.

Kali ini, Astro AWANI mendapatkan Pengerusi Persatuan Kebajikan Pemilik Hartanah Kampung Sungai Baru (PKPHKSB), Zulfakar Wahid pula dan menurutnya, berdasarkan rekod persatuan, kira-kira 85 peratus penduduk sudah bersetuju dengan pembangunan di kampung tersebut.

BACA: Ramadan yang hiba, Aidilfitri yang suram buat penduduk Kampung Sungai Baru

Bahkan, katanya, sejak dari awal lagi, pemaju menawarkan unit kondominium kepada semua penduduk yang terjejas dan difahamkan, nilai satu unit mencecah RM800,000 dan ada yang melebihi RM1 juta.

Tambahnya, lokasi projek itu bukan di luar Kampung Baru tapi di Kampung Sungai Baru itu sendiri dan tegasnya, tidak timbul isu penduduk asal akan dipindahkan ke kawasan lain.

“Itu sebab saya cakap dengan AJK saya, dua saja perkara kita kena pegang. Satu majoriti, dah ada hampir 85 peratus, satu lagi warta.

“Majoriti ini hak kita, sebagai penduduk atau pemilik., Kita dah ada 85 peratus. Satu lagi, kerajaan bagi warta.

BACA: Shahidan jamin penduduk Flat PKNS Sungai baru tidak berpindah dalam masa terdekat

“Warta ini bukan persatuan penduduk pergi minta dan ambil, Ketua Setiausaha Negara (KSN) yang luluskan.

“Bila bercakap saja, saya pesan dengan mereka, kita cakap dua itu saja sebab kalau nak cerita meleret-leret pun, dah cerita lama dah, dah tahu dah,” katanya kepada Astro AWANI pada Khamis.

Seorang lagi penduduk, Mohd Adam Abdul Aziz berkata, segala perjanjian dengan pemaju bukan hanya cakap kosong sebaliknya mempunyai dokumen rasmi.

Malah dia sendiri akan mendapat enam unit kondominium selepas pemaju mengambil kira keluasan rumah teres miliknya.

“Kalau dia (segelintir penduduk) kata, ramai orang yang kata benda ini tidak adil, saya tak tahu lagi macam mana nak cakap.

“Kita pun kalau nak minta sesuatu daripada sesiapa pun, kita kena ukur baju di badan sendiri juga kan.

“Kalau harta kita itu mungkin tinggi, lagi tinggilah kita minta. Jadi saya rasa apa yang ditawarkan pemaju itu rasanya berbaloi, hitam putihnya ada, Jadi tiada apa masalah,” ujarnya.

Notis Keluar Rumah | Ramadan yang hiba, penduduk Kampung Sungai Baru

Selesai di Kampung Sungai Baru, kru Astro AWANI menuju ke Residensi Kerinchi di mana terdapat 60 keluarga dari kampung tersebut tinggal di rumah transit sementara projek pembangunan berjalan.

Di sana, kami bertemu Hamidah Isa, 75, yang sudah empat tahun tinggal di sana dan sangat berharap agar projek pembangunan di kampungnya itu dapat disiapkan secepat mungkin.

“Makcik tunggu sini dah empat tahun. Memanglah tak sabar tapi kalau belum lagi, kita tunggulah, janji jadi.

Hamidah berdiri di hadapan rumahnya di Residensi Kerinchi, rumah yang sudah empat tahun didudukinya sementara menunggu projek di Kampung Sungai Baru siap.

“(Duduk sini ok ke? Selesa ke duduk sini?) Selesa.

“(Nak beli barang senang ke?) Senang, turun lif lepas itu belilah barang, kat dalam pasar raya,” katanya.

Hamidah berharap agar pembinaan rumah baharunya itu akan diselesaikan secepat mungkin dan pastinya, itu jugalah harapan Zulfakar dan kira-kira 85 peratus penduduk lain yang menurunkan tandatangan, tanda bersetuju.

Cerita Sebalik Berita: Nasib penduduk Kampung Sungai Baru

Ahad lepas, Astro AWANI melaporkan beberapa penduduk diarah mengosongkan rumah selepas Borang K dikeluarkan Pejabat Tanah dan Galian (PTG) dikeluarkan pada 22 Mac lalu.

Astro AWANI juga melaporkan Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Shahidan Kassim memberi jaminan kepada penduduk Flat Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) Sungai Baru di Kampung Baru, Kuala Lumpur, yang mendakwa mendapat notis pengosongan kediaman bahawa mereka tidak akan berpindah dalam masa terdekat.

Beliau berkata proses rundingan antara pihak pemaju dan wakil penduduk masih berjalan bagi mencari penyelesaian terbaik untuk kedua-dua pihak.