JOHOR BAHRU: Penduduk Kampung Plentong Baru dekat sini memohon bantuan pihak berwajib bagi membantu mereka mengusir warga Rohingya yang menetap di kampung berkenaan.

Ketua Kampung Senibong Mukim Plentong, Abd Rahim Moen berkata, penduduk terpaksa mengambil tindakan itu kerana kawasan persekitaran tempat tinggal mereka itu agak kotor dengan dipenuhi sampah sarap.

Menurutnya, selain itu, penduduk adakalanya turut terkesan dengan bunyi bising yang dipercayai datangnya dari kawasan tempat tinggal warga Rohingya terbabit.

“Jadi kami minta bantuan untuk ‘keluarkan’ mereka (warga Rohingya) kerana mahu jadikan kampung ini lebih ‘tersusun’ pada masa hadapan.

“Hasil pemantauan kita, suasana persekitaran di rumah mereka ini, memang tidak bersih, belakang rumah penuh dengan sampah sarap. Kami bimbang kawasan ini jadi tempat pembiakan nyamuk Aedes yang membawa kepada penyakit denggi.

"Tapi kita tak boleh buat apa-apa kerana mereka ada kad UNHCR (kad Suruhanjaya Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian),” katanya kepada Sinar Harian.

Difahamkan kesemua warga Rohingya yang menetap di situ menyewa daripada pemilik warga tempatan dengan anggaran 80 buah rumah.

Dalam pada itu, Abd Rahim berkata, adakalanya berlaku pergaduhan sesama mereka di kawasan tempat tinggal warga Rohingya tersebut dan perkara tersebut dibimbangi berlarutan sekali gus boleh memberikan kesan yang tidak baik kepada penduduk kampung.

“Kita memang selalu pantau keadaan mereka dan macam saya cakap tadi ada berlaku pergaduhan...tapi kecil-kecil sahaja dan sesama mereka.

“Kita juga dapati mereka ini bekerja, pergi pagi, malam baru balik. Tu yang adakalanya mereka buat bunyi bising dan bila penduduk tempatan tegur, di situlah hampir-hampir berlaku pergaduhan,” katanya.

Sementara itu, Abd Rahim juga berkata, warga Rohingya di sini turut memiliki musolla (surau) mereka sendiri dan perkara itu telah diajukan kepada pihak Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) untuk pelaksanaan sebarang tindakan.

“Kita juga dah buat aduan berhubung perkara ini kepada MAINJ dan dimaklumkan bahawa tidak ada masalah untuk mereka (warga Rohingya), mendirikan surau milik mereka sendiri.

“Cuma, ia tidak dibolehkan dijadikan surau untuk solat Jumaat (surau diri Jumaat). Untuk solat Jumaat, ia mesti dilaksanakan di masjid-masjid sedia ada,” katanya. - Sinar Harian