GUA MUSANG: Lebih 100 masyarakat Orang Asli di Kampung Dakoh, Pos Balar hari ini gempar dengan kehadiran seekor beruang yang dipercayai memusnahkan tanah perkuburan mereka, malah dikatakan turut memakan mayat penduduk kampung berkenaan.

Seorang penduduk, Mazlan Aluij, 50, berkata pada 26 Disember lepas dia dan lima anaknya menyedari kehadiran beruang itu ketika menziarahi kubur isterinya, Amek Along, yang meninggal dunia pada 1 Disember.

Menurut Mazlan dia mendapati kawasan sekitar kubur itu telah rosak selain menemukan beberapa kesan dan jejak dipercayai seekor beruang yang berkemungkinan turut menggali kubur dan memakan sebahagian mayat Amek.

"Saya juga pernah terserempak dengan haiwan itu yang sedang berkeliaran di belakang rumah, kira-kira 300 meter dari tanah perkuburan.

"Saya dapat dengar bunyi kehadiran beruang tersebut dan sempat menjerit ke arah haiwan itu kerana hampir menerkam anjing yang dibela dan kemudian beruang itu lari ke arah tanah perkuburan," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Mazlan berkata dia membuat laporan kepada polis serta Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara untuk tindakan selanjutnya kerana risau ancaman berulang berlaku selain membahayakan keselamatan penduduk kampung.

Pada 29 Disember lepas, media melaporkan penduduk di Kampung Perawas, Pos Balar turut ternampak kelibat seekor beruang masuk ke kawasan kampung untuk mendapatkan durian dari kawasan kebun berhampiran kediaman mereka.

Timbalan Ketua Pengarah Perancangan dan Pengurusan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Saiful Zahlan Muhamad Azmi bagaimanapun berkata pihaknya akan mengadakan perbincangan bersama Perhilitan mengenai masalah berkenaan.

-- BERNAMA