KUALA LUMPUR: Sebahagian besar penduduk Selangor bakal menerima manfaat daripada pembangunan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), menurut Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Menurutnya jajaran ECRL melibatkan Selangor iaitu Seksyen C, dibahagikan kepada dua iaitu Seksyen C1 dari Mentakab ke Terminal Pengangkutan Bersepadu Gombak dan Seksyen C2 dari Gombak ke Pelabuhan Klang melalui Serendah.

"Jajaran ECRL bagi Seksyen C2 adalah sepanjang 74.25 kilometer yang merangkumi empat stesen iaitu Serendah Baru (penumpang dan kargo), Puncak Alam (stesen penumpang), Kapar (stesen penumpang) dan Pelabuhan Klang (penumpang dan kargo)," katanya dalam hantaran terbaharunya di laman sosial Facebook.

Beliau berkata demikian susulan kenyataan Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong bahawa laluan ECRL C2 dijangka siap pada 31 Dis, 2027.

Tengku Zafrul berkata beliau turun padang ke Kuala Selangor pada Mei lepas dan antara isu yang dibangkitkan oleh gabungan 25 persatuan penduduk Puncak Alam adalah keperluan untuk mempunyai stesen ECRL di kawasan berkenaan.

"Saya telah membawa permintaan mereka untuk pertimbangan pihak bertanggungjawab dan alhamdulillah, Puncak Alam bakal mempunyai stesen ECRLnya sendiri," katanya.

Menurut Tengku Zafrul, pemerkasaan pengangkutan awam sudah tentu akan memudahkan penduduk Kuala Selangor.

"Pada kemuncaknya, dijangkakan sekitar 300,000 penumpang akan menggunakan stesen Puncak Alam," katanya sambil memaklumkan bahawa jajaran ECRL tersebut bukan sahaja akan memanfaatkan penduduk Kuala Selangor, malah penduduk kawasan lain di Selangor.

Seksyen C laluan ECRL telah melalui pemeriksaan awam mulai 23 Ogos hingga 23 Nov, 2021 dan menerima kelulusan muktamad di bawah skim keretapi pada 20 Jan tahun ini.

Terdahulu hari ini, Wee dilaporkan berkata pemeriksaan awam itu bertujuan membolehkan orang ramai memberikan maklum balas mengenai jajaran dan stesen ECRL yang dicadangkan terutamanya di Selangor, khususnya Puncak Alam dan Kapar.

Menurut Wee, hasil pemeriksaan awam dan beberapa sesi libat urus yang diadakan mendapati orang ramai menyokong pembinaan stesen Puncak Alam.

-- BERNAMA