Perkembangan terkini operasi mencari dan menyelamat mangsa tertimbus akibat runtuhan penebat kilat di Jalan Macalister Pulau Pinang.

Sehingga lewat petang semalam, usaha mencari penjual nasi, Lim Chin Aik masih lagi diteruskan pasukan penyelamat.

Selain pihak kontraktor, operasi mencari juga dilakukan bersama-sama dengan pasukan penyelamat sejak petang Sabtu.

Selepas beberapa jam, pasukan penyelamat hanya menemui serpihan tayar kereta mangsa kira-kira jam 11.30 pagi semalam.

Tinjauan di kawasan itu mendapati kerja-kerja meletakkan besi penahan di lokasi runtuhan giat dilakukan pihak kontraktor bagi menahan bahagian dinding kawah sedalam lima meter dari terus mendap.

Pasukan penyelamat sebelum ini berdepan kesukaran mengesan mangsa yang tertimbus berikutan tanah lembab dan mendap selepas paip bawah tanah pecah disebabkan hentakan konkrit yang kuat.

Sementara itu, ahli keluarga Lim Chin Aik yang dipercayai tertimbus di kawasan runtuhan penebat kilat di Jalan Macalister berada di tempat kejadian bagi mengikuti pekembangan operasi mencari dan menyelamat.

Isteri mangsa, Lee Chai Song , 48 tahun dan tiga anak mereka iaitu Lim Chia Yiang, Lim Chia Oon dan Lim Hui Jiun berkata mereka sekeluarga berada di kawasan itu sejak jam tujuh pagi lagi.

Turut berada dikawasan itu ibu bapa mangsa, Lim Tian Chor dan Ang Kim Looi serta adik perempuan mangsa, Lim Lye Suan.

Mereka sekeluarga berharap mayat Lim segera ditemui pasukan penyelamat.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Abdul Rahim Hanafi semalam mengesahkan nombor casis kereta yang ditemui di kawasan runtuhan penebat kilat di Jalan Macalister sepadan dengan kereta Lim Chin Aik .

Seorang kelindan lori, Jahir Hussien Sulaiman maut manakala enam yang lain cedera selepas rod penebat kilat dari Menara Umno di Jalan Macalister terjatuh dan menghempap beberapa buah kenderaan dalam kejadian Angin Langkisau dan ribut kencang Khamis lalu.

Angin Langkisau yang berlaku turut mengorbankan seorang kakitangan Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) Wong Tze Chow yang ketika itu sedang berjoging di Empangan Air Hitam pada hari sama.

Turut dilaporkan sebanyak 21 kawasan di Pulau Pinang dilanda ribut kencang iaitu lapan di kawasan Timur Laut, dua di Seberang Perai Tengah,sepuluh kawasan di Seberang Perai Utara dan satu di bahagian Barat Daya.