WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) dan Iran dilaporkan telah mencapai satu memorandum persefahaman (MoU) awal bagi melanjutkan gencatan senjata antara kedua-dua negara selama 60 hari, sambil memulakan rundingan ke arah menamatkan konflik secara kekal, menurut beberapa pegawai yang terlibat.
Sumber dari AS memaklumkan bahawa rangka kerja perjanjian tersebut bagaimanapun masih memerlukan kelulusan muktamad daripada Presiden Donald Trump sebelum ia dapat dimeterai secara rasmi.
Sekiranya dimuktamadkan, langkah ini dilihat sebagai satu perkembangan besar selepas beberapa minggu kebuntuan dalam usaha diplomatik.
Namun, butiran lengkap mengenai perjanjian sementara itu masih belum didedahkan sepenuhnya.
Tidak jelas sama ada tempoh lanjutan 60 hari tersebut merupakan satu garis masa tegas untuk rundingan damai atau sekadar lanjutan kepada gencatan senjata sedia ada yang bersifat terbuka.
Perkembangan ini muncul ketika ketegangan antara AS dan Iran masih berlarutan, dengan beberapa insiden pertempuran kecil dilaporkan berlaku di Teluk.
Kedua-dua pihak dilaporkan telah melancarkan serangan terhad antara satu sama lain pada hari yang sama, yang berpotensi menggugat kestabilan gencatan senjata sedia ada.
Laporan awal mengenai perjanjian tersebut pertama kali didedahkan oleh portal berita Axios, sebelum disahkan oleh pihak White House.
Menurut laporan tersebut, antara intipati utama MoU itu ialah jaminan bahawa laluan kapal di Selat Hormuz akan dibuka tanpa sekatan, di samping langkah AS untuk menarik balik sekatan laut ke atas pelabuhan Iran.
Selat Hormuz merupakan laluan strategik utama bagi perdagangan minyak global.
Iran sebelum ini menegaskan kedaulatannya ke atas kawasan tersebut, dengan menyatakan bahawa pengurusan selat berkenaan perlu dikendalikan secara bersama antara Iran dan Oman kerana ia melibatkan perairan wilayah kedua-dua negara.
Namun, Washington menolak sebarang bentuk kawalan oleh Iran ke atas laluan tersebut, termasuk cadangan mengenakan bayaran tol kepada kapal yang melalui Selat Hormuz.
Dalam perkembangan berkaitan, Setiausaha Perbendaharaan AS, Scott Bessent, dilaporkan turut memberi amaran kepada Oman, sekutu rapat Washington, bahawa ia berdepan kemungkinan dikenakan sekatan jika membantu pelaksanaan sebarang caj terhadap kapal yang menggunakan laluan berkenaan.
Pemerhati melihat rundingan ini sebagai ujian penting kepada usaha meredakan ketegangan antara dua kuasa tersebut, dengan tumpuan kini beralih kepada sama ada persetujuan rasmi dapat dicapai dalam tempoh terdekat.