MALAYSIA
Penerbangan 50 minit jadi 4 jam, menteri puji kru AirAsia tenang tangani detik cemas

Loke mengucapkan terima kasih kepada petugas darat, pengawal trafik udara serta semua kakitangan sokongan dari Senai, Pulau Pinang hingga ke KLIA yang bertindak pantas dan cekap. - FB nthony Loke Siew Fook
SHAH ALAM: Menteri Pengangkutan, Anthony Loke mendedahkan pengalaman cemas apabila penerbangan yang sepatutnya hanya mengambil masa 50 minit bertukar menjadi hampir empat jam akibat cuaca buruk malam tadi.
Ringkasan AI
- Penerbangan tertunda akibat cuaca buruk: Pesawat AirAsia AK6047 dari Johor Bahru ke Kuala Lumpur yang sepatutnya mengambil masa 50 minit bertukar menjadi hampir empat jam kerana angin lintang dan ribut petir yang kuat, menyebabkan pesawat terpaksa dilencongkan ke Pulau Pinang untuk mengisi minyak.
- Profesionalisme kru penerbangan: Anthony Loke memuji juruterbang dan kru kabin atas komunikasi tenang serta kecekapan mereka dalam mengendalikan situasi cemas, yang membantu menenangkan penumpang sepanjang penerbangan.
- Penghargaan kepada petugas penerbangan: Beliau turut berterima kasih kepada petugas darat, pengawal trafik udara, dan kakitangan sokongan yang bertindak pantas dalam memastikan keselamatan semua penumpang, serta memilih untuk menjadi penumpang terakhir turun sebagai tanda penghargaan kepada kru.
"Kami berpusing di ruang udara KLIA sebelum pesawat dilencongkan ke Pulau Pinang bagi mengisi minyak," katanya menerusi satu hantaran di Facebook pada Ahad.
Menurut Anthony, sekurang-kurangnya lima penerbangan AirAsia lain turut terpaksa dilencongkan akibat keadaan cuaca ekstrem yang turut menjejaskan operasi penerbangan.
Namun begitu, beliau memuji tahap profesionalisme tinggi yang ditunjukkan juruterbang, Kapten Teng Huah Jer serta Pembantu Pertama Bryan Alexander Yin Kian Yam dalam mengendalikan situasi tersebut.
"Kapten mengendalikan keadaan dengan amat baik melalui komunikasi tenang serta maklumat yang sentiasa dikemas kini kepada penumpang.
"Ini sangat penting dalam menenangkan semua pihak dalam situasi sebegini," katanya.
Loke turut merakamkan penghargaan kepada kru kabin yang diketuai Muhammad Asyraf Muhammad Nasrullah bersama Mandasari Nikita Florensia, Bagus Setyadi Nugroho dan Norjuniza Muhammad atas kecekapan serta empati tinggi yang ditunjukkan sepanjang insiden berlangsung.
"Walaupun terpaksa bekerja lebih masa, kru masih mampu mengukir senyuman dan memohon maaf kepada setiap penumpang atas segala kesulitan.
"Mereka adalah contoh terbaik dalam industri penerbangan," ujar beliau.
Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada petugas darat, pengawal trafik udara serta semua kakitangan sokongan dari Senai, Pulau Pinang hingga ke KLIA yang bertindak pantas dan cekap dalam memastikan semua penumpang pulang dengan selamat.
Pesawat akhirnya selamat mendarat di KLIA pada jam 2.40 pagi, dan sebagai tanda penghargaan kepada kru, Athony memilih untuk menjadi penumpang terakhir turun dari pesawat. -- Sinar Harian
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami