KUALA LUMPUR: Penerima Nobel Peace Laureate 2006 Prof Muhammad Yunus menerima Ijazah Kehormat Doktor Ekonomi Perniagaan Universiti Putra Malaysia (UPM) pada Majlis Konvokesyen UPM ke-46 Sidang Dua, Sabtu lepas.

UPM dalam kenyataan hari ini memaklumkan Tuanku Canselor UPM Sultan Sharafuddin Idris Shah telah berkenan menyampaikan ijazah kehormat berkenaan kepada Muhammad Yunus.

Muhammad Yunus merupakan seorang daripada hanya tujuh individu yang menerima Hadiah Nobel Peace, Pingat Kebebasan Presiden Amerika Syarikat dan Pingat Emas Kongres Amerika Syarikat, selain turut menerima pengiktirafan dan anugerah dalam bidang ekonomi dan perniagaan daripada 10 negara antaranya Gandhi Peace Prize (2000) daripada India dan Petersberg Prize (2004) daripada Amerika Syarikat.

Beliau merupakan pengasas pinjaman mikro kredit kepada golongan tidak berkemampuan untuk memulakan perniagaan jangka panjang setelah Bangladesh mengalami krisis kebuluran pada 1974 sebelum mengembangkannya dengan menubuhkan Grameen Bank.

Susulan penganugerahan itu, Sekolah Perniagaan dan Ekonomi (SPE) UPM akan mengupayakan beliau sebagai Pemegang Kursi Menteri Besar Selangor (MBI) untuk tempoh tiga tahun bagi membentuk kepimpinan dalam mengupayakan penyelidikan dan pengajaran dalam bidang pengurusan, perniagaan dan ekonomi.

Dekan SPE Prof Dr Bany Ariffin Amin Noordin berkata kerjasama bersama Prof Muhammad Yunus secara langsung akan membantu UPM terutama dalam aktiviti perniagaan sosial serta program komuniti berdasarkan hasil kerja Yunus Social Business.

"Dengan adanya tokoh-tokoh sebegini mereka mempunyai banyak pengalaman yang boleh dikongsikan bersama fakulti dan universiti untuk memperkukuh pengajaran dan jaringan industri," katanya dalam kenyataan itu.

-- BERNAMA