KUALA LUMPUR: Jemaah Menteri membuat keputusan untuk meneruskan projek Littoral Combat Ship (LCS) atau pembinaan kapal tempur pesisir, demi kepentingan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan bukannya untuk menjaga kontraktor semata-mata.

Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kesemua kepentingan TLDM dan kerajaan diambil kira dan menjadi keutamaan di sebalik pertimbangan keputusan itu.

"Kenyataan bekas Menteri Pertahanan Mohamad Sabu bahawa, Jemaah Menteri membuat keputusan untuk menjaga kontraktor semata-mata adalah tidak benar, namun sebagai kerajaan yang bertanggungjawab, keputusan diambil kira mengikut situasi semasa, keupayaan kontraktor dan kesan kepada ekonomi.

"Saya memandang serius kenyataan Mohamad berkaitan keputusan kerajaan dalam isu perolehan LCS, yang dilihat seperti menangguk di air yang keruh," katanya dalam kenyataan semalam.

Ismail Sabri berkata dalam hal ini, pihaknya membuat kajian mendalam terhadap semua aspek projek itu dan Jemaah Menteri mendapati lebih banyak kebaikan dan keuntungan yang akan diperolehi oleh kerajaan dan rakyat, dengan meneruskan projek itu.

"Kerajaan sudah pun membelanjakan RM6 billion dan jika ia dihentikan, wang ini mungkin tidak dapat dikembalikan sepenuhnya, malah kerajaan perlu mengeluarkan wang yang lebih banyak untuk melantik kontraktor baharu.

"Kesemua ini akan memakan masa yang panjang dan projek ini akan menjadi lebih lewat untuk disiapkan, dan ini boleh menjejaskan kesiap-siagaan pertahanan laut negara," katanya.

Ismail Sabri berkata, keputusan kerajaan untuk meneruskan projek LCS ini bukan sahaja akan menyelamatkan 8,000 pekerja, malah ratusan vendor dan kontraktor tempatan.

BACA: Kerajaan setuju teruskan pembinaan LCS yang terhenti sejak 2019 

BACA: Penangguhan projek LCS: 10,000 pekerja terjejas, 200 vendor gulung tikar - Zambry

Beliau berkata, pihak Boustead (Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd - BNS) telah mengemukakan pelan perancangan teliti awal tahun ini untuk meneruskan projek LCS, yang mencerminkan kesungguhan dan komitmen mereka untuk menyiapkannya dan Jemaah Menteri bersetuju secara dasarnya untuk pihak Boustead meneruskan projek itu.

"Langkah seterusnya adalah pihak kerajaan akan memaklumkan secara rasmi kepada pihak Boustead mengenai keputusan ini, beserta dengan pelan pelaksanaan projek itu.

"Reka bentuk terperinci LCS ini sudah siap 96 peratus, dan dijangka siap sepenuhnya pada penghujung tahun 2022, (malah) Naval Group masih bekerjasama dengan Boustead, untuk menyiapkan projek ini," katanya.

-- BERNAMA