IPOH: Hampir 10,000 pekerja tempatan, termasuk pekerja mahir terjejas ekoran penangguhan projek pembinaan Kapal Tempur Pesisir Pantai (LCS) di Lumut sejak Disember 2019.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pangkor, Datuk Seri Zambry Abd Kadir berkata, ia turut menyebabkan hampir separuh daripada 400 syarikat vendor tempatan terpaksa gulung tikar.

Sehubungan itu, beliau merayu agar kerajaan dapat meneruskan semula projek itu secepat mungkin kerana ia bukan sahaja menjejaskan ekonomi setempat, malah juga ekonomi negeri dan negara.

“Projek kapal yang kita buat di Lumut ini adalah merupakan projek nasional, oleh yang demikian, saya memohon kepada pihak kerajaan untuk memberikan perhatian yang serius terhadap keadaan di Limbungan TLDM ini untuk membantu mereka dan mengeluarkan mereka daripada permasalahan yang sedang mereka hadapi pada ketika ini.

“Langkah-langkah kerajaan ini adalah sangat-sangat diperlukan dan kita harap supaya pihak Kementerian Pertahanan dan juga semua, khususnya Perdana Menteri dapat membantu dan segera menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh para vendor dan juga pekerja-pekerja ni,” katanya pada sidang media khas di sini, hari ini.

Turut hadir ialah Setiausaha Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) Perak Hamzah Jaaffar dan Pengarah Urusan Samudera Selatan Eng Sdn Bhd, Shafie Tamrin.

Menurut Zambry, maklumat awal daripada Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Pengerusi Boustead Holdings Bhd, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, isu itu agak rumit dan memerlukan beberapa tindakan penyelesaian menyeluruh.

Jelasnya, mereka bukan bertujuan untuk berkonfrantasi dengan kerajaan, lebih-lebih lagi dalam kegawatan ekonomi ekoran pandemik COVID-19, tetapi sangat berharap supaya kerajaan segera membantu menyelesaikan masalah yang serius ini.

Projek LSC bernilai RM9.128 bilion itu dianugerahkan kepada Bousted Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS) oleh kerajaan melalui Kementerian Pertahanan.

Mengikut perancangan asal, dua daripada enam LCS sepatutnya sudah diterima sehingga kini, namun belum ada kapal disiapkan.

Difahamkan dua buah kapal sudah siap sekitar 70 peratus ketika projek itu ditangguhkan lebih setahun lalu.