PENGAMAL media dalam negara diberi penghormatan oleh Rotary District 3300 Malaysia atas peranan penting dalam menyampaikan maklumat ketika dunia dilanda pandemik COVID-19.

Menurut Gabenor Daerah District, Datuk Bindi Rajasegaran, peranan media, secara amnya sangat penting kerana orang ramai perlu dimaklumkan tentang sesuatu perkara.

“Maklumat ini penting bagi mereka untuk merancang dan bergerak ke hadapan dan membiasakan diri dengan sesuatu yang akan berlaku pada masa depan.

“Meskipun mudah untuk mencari bahan berita dan peristiwa atau kisah yang patut dilaporkan, kali ini (pandemik COVID-19) tidak pernah berlaku sebelum ini, bermakna ia benar-benar jadi satu cabaran besar bagi pengamal media.

"Sementara seluruh dunia melancarkan perang melawan musuh yang tidak kelihatan, rakyat Malaysia telah menyedari kepentingan peranan yang dimainkan oleh wartawan dan pekerja media dalam tempoh krisis ini," jelasnya dalam satu kenyataan media.

Pada Selasa, Rotary District 3300 Malaysia yang mewakili 89 Rotary Clubs di Malaysia menyampaikan Service Above Self Award sebagai satu penghormatan besar kepada pengamal media yang juga disifatkan sebagai petugas barisan hadapan ketika berlakunya pandemik.

Untuk makluman, Rotary District 3300 Malaysia Service Above Self Award adalah penghormatan tertinggi yang dikhaskan kepada petugas yang berkhidmat untuk negara dan yang telah membuat sumbangan besar serta mampu mengubah hidup masyarakat.

Tahun ini, Rotary District 3300 Malaysia telah memutuskan untuk mengiktiraf petugas media, wira yang tidak didendang, yang terus mengekalkan komitmen mereka dalam membawa berita dan maklumat walaupun berisiko dijangkiti COVID-19.