KUALA LUMPUR: Setiap rakyat Malaysia yang didapati bersalah termasuk bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mempunyai hak untuk memohon pengampunan.

Menerusi temu bual bersama Al Jazeera hari ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata keputusan yang dibuat terhadap Najib adalah di luar bidang kuasa Perdana Menteri dan kerajaan.

Justeru, beliau memaklumkan kerajaan menghormati keputusan pengampunan terhadap bekas Ahli Parlimen Pekan itu yang dibuat melalui Lembaga Pengampunan, dan dipengerusikan oleh Yang di-Pertuan Agong ketika itu.

"Datuk Seri Najib telah melalui proses undang-undang dan beliau kini dalam penjara tetapi setiap hak setiap rakyat, yang telah disabitkan kesalahan untuk merayu kepada Agong," katanya dalam temu bual berkenaan.


Mengulas lanjut, Anwar menambah semua pertimbangan telah diambil kira oleh Lembaga Pengampunan dalam membuat sebarang keputusan berhubung pengampunan.

Sebagai Raja Berperlembagaan, Perdana Menteri berkata Yang di-Pertuan Agong antaranya akan merujuk Peguam Negara dan Perdana Menteri, dan sudah tentu Seri Paduka Baginda adalah yang terbaik dalam menegakkan Perlembagaan dan kedaulatan undang-undang.

"Semua pertimbangan ini diambil kira dan kemudian Agong selepas mendengar Lembaga Pengampunan akhirnya memutuskan untuk mengurangkan hukuman sebanyak 50 peratus yang bermaksud, jika RM50 juta dibayar, maka dia (Najib) akan dibebaskan pada Ogos 2028.

"Tetapi jika tidak dibayar, maka dilanjutkan setahun lagi kepada 2029," ujar Perdana Menteri.

Anwar menambah ketika ini Najib masih menjalani perbicaraan di mahkamah (melibatkan tiga lagi kes jenayah).

"Pada masa yang sama Datuk Seri (Najib) mempunyai hak untuk sekali lagi merayu kepada Agong baharu (jika didapati bersalah).

"Jadi saya rasa proses yang perlu dihormati adalah di luar (bidang kuasa) Perdana Menteri dan saya menghormati keputusan Agong, ketika itu, dan sekarang kita ada Agong baharu," katanya.

Dalam masa yang sama, Perdana Menteri juga tidak menolak kemungkinan bahawa keputusan pengampunan terhadap Najib akan dikaitkan dengan politik.

Begitupun, Anwar sekali lagi menegaskan bahawa: "Mereka tidak boleh mengabaikan hakikat bahawa mesti menghormati hak sesiapa yang disabitkan kesalahan untuk merayu kepada Lembaga Pengampunan dan kini Lembaga Pengampunan telah membuat keputusan."

Hari ini, Lembaga Pembangunan mengesahkan hukuman penjara bekas Perdana Menteri itu dikurangkan daripada 12 tahun kepada enam tahun, manakala denda terhadapnya dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta.

Namun, sekiranya denda itu tidak dibayar, tempoh penjara bagi Najib akan ditambah setahun dengan tarikh pembebasan beliau dijadualkan pada 23 Ogos 2029.

Mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya Kali Ke-61 bersidang pada Isnin lalu.