PUTRAJAYA: Kerajaan berpandangan adalah tiada  keperluan untuk membincangkan justifikasi Lembaga Pengampunan berhubung pengampunan Datuk Seri Najib Razak.

Justeru, Jurucakap Kerajaan, Fahmi Fadzil memberitahu, isu pengurangan hukuman terhadap bekas Perdana Menteri itu tidak dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet yang bersidang pada Rabu.

Malah katanya, Lembaga Pengampunan juga sebelum ini secara lazimnya tidak pernah memberikan sebagai kenyataan berhubung justifikasi keputusan mereka.

"Perdana Menteri ada menegaskan apa yang beliau sebutkan semalam dan dalam Perhimpunan Bulanan Kementerian Kewangan, jadi kita berpegang kepada kenyataan itu.

"Pada masa sama, setahu saya, Jemaah Menteri tidak ada membincangkan keperluan untuk Lembaga Pengampunan membuat sebarang pengumuman," katanya pada sidang media pasca Kabinet di sini, pada Rabu.

Jumaat lalu, Najib diberikan pengurangan 50 peratus bagi hukuman penjara 12 tahun yang sedang dijalaninya sejak 2022, sekali gus menyaksikan bekas Perdana Menteri itu bakal dibebaskan pada 23 Ogos 2028.

Selain tarikh pembebasan awal itu, Urusetia Lembaga Pengampunan Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri, turut mengumumkan denda perlu dibayar oleh Najib dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta.

Dalam pada itu ketika ditanya sama ada wujud keperluan Lembaga Pengampunan membuat penjelasan berhubung pengurangan hukuman Najib, Fahmi berkata, beliau selari dengan pandangan pakar perlembagaan, Prof Datuk Shad Saleem Faruqi seperti yang dilaporkan dalam sebuah akhbar berbahasa Inggeris bahawa perbincangan Lembaga Pengampunan berstatus rahsia.

"Saya terima pandangan pakar perlembagaan, Prof Datuk Shad Saleem Faruqi. Beliau menyatakan bahawa perbincangan dalam Lembaga Pengampunan ini berstatus rahsia dan saya bersetuju dengan pandangan itu," tambahnya.