KUALA LUMPUR: Bekas Setiausaha Publisiti DAP, Tony Pua dilihat tiba di luar Ibu Pejabat Polis Bukit Aman pada jam 12.48 tengah hari pada Isnin.

Beliau yang berkemeja putih datang seorang diri sebelum bertemu Ahli Parlimen Klang, V Ganabatirau dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Subang Jaya, Michelle Ng Mei Sze.

Kira-kira 15 minit kemudian, Pengerusi DAP Kebangsaan, Lim Guan Eng pula dilihat tiba di Bukit Aman dan bertanyakan perkembangan semasa kepada bekas Ahli Parlimen Damansara itu.

Tony bersama peguamnya kemudian memasuki bangunan Ibu Pejabat Polis Bukit Aman pada jam 1.12 tengah hari.

Tony dipanggil untuk direkod keterangan susulan kenyataannya yang didakwa menghina institusi diraja berkaitan pengampunan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain dilapor berkata, siasatan dikendalikan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), Bahagian Pendakwaan/ Undang-Undang (D5), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman.

Sebelum ini, Tony dilaporkan memuat naik tiga hantaran bagi meluahkan rasa tidak puas hati terhadap pengurangan hukuman diberikan kepada Najib. 

Lembaga Pengampunan pada Jumaat memaklumkan Mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur bersetuju mengurangkan hukuman dan denda yang dikenakan terhadap Najib.

Lembaga tersebut mengesahkan hukuman penjara beliau dikurangkan dari 12 tahun ke enam tahun, dan denda terhadapnya dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta.

Namun, sekiranya denda tidak dibayar, tempoh penjara bagi Najib ditambah selama setahun di mana tarikh pembebasan adalah pada 23 Ogos 2029.