KOTA BHARU: Seorang penganggur dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, pada Khamis atas pertuduhan cuba membunuh anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) semasa sekatan jalan raya di Jalan Kuala Krai, di sini, bulan lalu.

Tertuduh, Mohd Noor Nashriq Nawawi, 28, mengaku salah terhadap pertuduhan di hadapan Hakim, Nooriah Osman.

Hukuman terhadapnya bagaimanapun ditetapkan pada 20 Februari ini.

Berdasarkan pertuduhan pertama, Mohd Noor Nashriq melakukan cubaan bunuh terhadap Mohamed Azrin Abdul Wahab, 44, dengan melanggar mangsa ketika tertuduh memandu kereta jenis Perodua Kancil dengan mengetahui perbuatan itu boleh menyebabkan kematian dan menyebabkan mangsa mengalami kecederaan.

Bagi dakwaan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan boleh juga dikenakan denda jika sabit kesalahan.

Pada pertuduhan kedua, tertuduh didakwa gagal mematuhi isyarat munasabah untuk berhenti yang diberikan oleh Pembantu Penguat kuasa JPJ, Ahmad Shukri Ibrahim, 41.

Bagi pertuduhan tersebut, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 78 (2) Akta 333 yang jika disabitkan boleh didenda maksimum RM2,000 atau dipenjarakan selama tempoh maksimum enam bulan atau kedua-duanya.

Kedua-dua kesalahan dilakukan di hadapan Akademi Jabatan JPJ Wilayah Timur, Jalan Kuala Krai, di sini, pada jam 9 malam, 19 Januari lalu.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Faiz Fitri Mohamad.

Pada prosiding itu, mahkamah tidak membenarkan tertuduh diikat jamin.

Dalam perkembangan lain, Mohd Noor Nashriq turut mengaku pada dua tuduhan memiliki 3.5 gram (g) dadah jenis heroin dan 1.2 g methamphetamine di kawasan flat Taman Bahagia Wakaf Mek Zainab di sini, pada 4 Februari lalu.

Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 29 April ini. - Sinar Harian