MALAYSIA
Pengangkutan awam kekal operasi pada Sabtu, hormati hak rakyat berhimpun

Loke berkata, pengangkutan awam perlu kekal beroperasi supaya majoriti rakyat dapat menjalankan urusan harian mereka tanpa gangguan.
KUALA LUMPUR: Kementerian Pengangkutan mengarahkan semua perkhidmatan pengangkutan awam termasuk stesen kereta api KTMB dan Prasarana untuk terus beroperasi seperti biasa pada Sabtu, walaupun ibu kota dijangka menjadi lokasi perhimpunan 'Turun Anwar' anjuran pembangkang.
Ringkasan AI
- Kementerian Pengangkutan mengarahkan semua perkhidmatan pengangkutan awam termasuk KTMB dan Prasarana kekal beroperasi seperti biasa pada Sabtu bagi memastikan rakyat dapat menjalankan urusan harian tanpa gangguan.
- Menteri Pengangkutan Anthony Loke menegaskan komitmen Kerajaan Madani terhadap prinsip demokrasi dan hak berhimpun secara aman, serta menggalakkan peserta perhimpunan menggunakan pengangkutan awam untuk elak kesesakan.
- Inisiatif seperti Pas RM50 dan MyCity Pass RM6 turut dipromosikan bagi galak penggunaan pengangkutan awam, sementara PDRM diarahkan oleh Perdana Menteri untuk bantu kelancaran perhimpunan tanpa intimidasi atau sekatan.
Beliau berkata demikian dalam hantarannya di facebook mengenai perkara itu pada Jumaat.
Jelas Loke, yang lebih penting adalah memastikan pengangkutan awam kekal beroperasi supaya majoriti rakyat dapat menjalankan urusan harian mereka tanpa terganggu oleh perhimpunan yang dijangka berlangsung di ibu kota.
“Pengangkutan awam kita harus terus berfungsi agar majoriti rakyat boleh menjalankan urusan hujung minggu tanpa diganggu oleh perhimpunan pembangkang,” katanya.
Dalam kenyataan yang sama, beliau turut mempromosikan inisiatif-inisiatif kerajaan bagi menggalakkan penggunaan pengangkutan awam.
“Bagi mereka yang datang ke ibu kota jangan lupa Pas RM50, yang boleh diperbaharui secara atas talian melalui aplikasi Touch N’ Go yang membolehkan pengguna menikmati perjalanan tanpa had selama sebulan dengan bayaran hanya RM50, manakala baki RM100 disubsidi kerajaan,” katanya.
Selain itu, beliau juga mengumumkan bahawa pas harian MyCity Pass yang berharga RM6 menawarkan penggunaan tanpa had untuk semua perkhidmatan LRT, MRT, BRT, Monorel dan RapidBas akan didigitalkan sepenuhnya menjelang hujung tahun ini.
“Saya menggalakkan para peserta perhimpunan esok untuk menggunakan pengangkutan awam supaya kesesakan lalu lintas di ibu kota dapat diminimumkan,” tambahnya.
Media pada Khamis melaporkan, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) memberi kerjasama sewajarnya bagi memastikan keselamatan awam terpelihara susulan penganjuran Perhimpunan ‘Turun Anwar’ pada Sabtu ini.
Setiausaha Akhbar Kanan kepada Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah menerusi taklimat harian Pejabat Perdana Menteri berkata, langkah itu bagi memastikan kelancaran perhimpunan tersebut dapat dibantu tanpa sebarang intimidasi atau sekatan tidak wajar.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami