Polis akan memanggil penganjur dan individu tertentu terdiri daripada beberapa anggota Parlimen untuk diambil keterangan mereka berhubung penyerahan memorandum di Bukit Aman, pagi Khamis.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Amar Singh Ishar Singh berkata perkara berkenaan jelas tidak mematuhi Akta Perhimpunan Aman (APA) 2012.

"Polis akan menyiasat berhubung perkara itu... mereka telah langgar APA 2012 kerana tidak mengemukakan notis 10 hari sebelum mengadakan perhimpunan dan juga mengadakan perarakan," katanya.

Amar Singh berkata demikian kepada pemberita selepas majlis Kempen Derma Darah, meraikan kenaikan pangkat pegawai rendah polis dan pelancaran Ekosistem Kondusif Sektor Awam (EKSA), di sini semalam.

Hampir 70 Anggota Parlimen pembangkang berarak dari Parlimen ke Bukit Aman sebelum tiba pukul 9 pagi di hadapan pintu masuk Bukit Aman bagi menyerahkan memorandum kepada Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar.

Ketika ditanya mengenai kandungan memorandum itu, Amar Singh enggan mengulas lanjut namun kata beliau pihaknya percaya ia berkaitan dengan tuntutan pembebasan Anggota Parlimen Pandan Mohd Rafizi Ramli yang ditahan di luar bangunan Parlimen Selasa lepas.

Rafizi, yang juga Naib Presiden dan Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR), ditahan kira-kira 6.20 petang tiga hari lepas, bagi membantu siasatan berhubung pendedahan dokumen rasmi dan dakwaannya terhadap Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT).

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Zainol Samah yang ditemui pemberita dalam majlis berkenaan berkata pihaknya telah membuka dua kertas siasatan berhubung insiden pertandingan ratu pondan di sebuah hotel terkemuka, di ibu negara pada Ahad lepas, seperti yang dilaporkan sebuah akhbar tempatan baru-baru ini.

Zainol berkata kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan.

Pada Ahad lepas, seorang pengamal media yang membuat liputan dan seorang pegawai Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) yang terlibat dalam serbuan terhadap majlis itu, dipercayai dikasari sebelum timbul kekecohan semasa majlis itu berlangsung.