SEPANG: Penganjur Kejuaraan Cub Prix Malaysia meletakkan harapan beberapa pusingan perlumbaan dapat dianjurkan di litar bukan tetap apabila Malaysia memasuki Fasa Peralihan ke Endemik bermula 1 April ini.

Pengarah Promosi Safe Aim Mutual Sdn Bhd Ron Hogg berkata bagi dua musim lepas, perlumbaan hanya dibenarkan di litar tetap iaitu Litar Antarabangsa Sepang (SIC), Litar Tangkak, Johor dan Litar Permotoran Terengganu, Gong Badak berikutan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.

Beliau berkata buat masa ini antara kelemahan dikenal pasti pihaknya adalah kekurangan litar tetap di Malaysia yang menyebabkan kesukaran untuk menganjurkan perlumbaan di kawasan lain, terutamanya di zon utara dan timur Semenanjung.

"Kami memang ingin untuk menganjurkan beberapa pusingan Cub Prix, bukan semua, mungkin dua atau tiga di litar bukan tetap. Kalau boleh pada Fasa Peralihan ke Endemik ini, kita mahu kembali anjurkan perlumbaan seperti dulu," katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran Kejuaraan Cub Prix musim 2022 di SIC, di sini semalam.

Ron turut berharap kanak-kanak turut dibenarkan hadir bersama ibu bapa mereka untuk menyaksikan perlumbaan selepas 1 April, memandangkan penonton menghadapi kesukaran untuk hadir tanpa anak-anak.
 
Beliau berkata apabila SOP kehadiran dilonggarkan sepenuhnya, ia akan memberikan impak besar kepada aktiviti ekonomi, bukan sahaja bagi industri sukan permotoran, malah turut bagi industri pelancongan sukan di kawasan perlumbaan kerana penonton sanggup hadir daripada radius 150 kilometer dari venue perlumbaan.

"Contohnya apabila kita menganjurkan perlumbaan di Batu Kawan (Pulau Pinang) dulu, penonton datang dari Perlis, Kedah, Taiping dan Ipoh. Sejak dua tahun ini, kita tidak membuat apa-apa roadshow dan promosi, jadi kita sangat menantikan kehadiran penonton tanpa had kerana sukan ini tidak bermakna tanpa peminat.

"Apabila penonton hadir, suasananya akan berbeza. Dari segi pelancongan sukan, komuniti Cub Prix ini sendiri agak besar. Sebelum pandemik, kita ada kira-kira 1,400 orang, termasuk pelumba, penganjur dan kru yang melawat kawasan perlumbaan, sekali gus membantu menjana ekonomi tempatan," katanya.

Menurut Ron, kehadiran penonton ke perlumbaan Cub Prix sebelum pandemik bergantung kepada lokasi, yang biasanya sekitar 20,000 hingga 30,000 orang bagi satu minggu perlumbaan.

Beliau berkata buat masa ini, jumlah kru bagi satu-satu perlumbaan masih dihadkan, tetapi akan dilonggarkan selepas menerima kemas kini SOP terbaharu daripada kerajaan bagi Fasa Peralihan ke Endemik nanti.

Selasa lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan Malaysia akan memasuki Fasa Peralihan ke Endemik mulai 1 April ini, yang bakal menyaksikan lebih banyak kelonggaran dalam pelbagai sektor dan pembukaan sepenuhnya sempadan negara.

Sementara itu, musim ke-29 Kejuaraan Cub Prix Malaysia, membuka tirai dengan pusingan pertama di SIC Utara bermula hari ini.

-- BERNAMA