KUALA TERENGGANU: Penganjur program Himpunan RXZ Members 5.0 yang berlangsung di Litar Permotoran Terengganu, Kompleks Sukan Gong Badak di Kuala Nerus memohon maaf berhubung isu berbangkit melibatkan peserta dan pihak berkuasa sepanjang dua hari program itu diadakan pada Jumaat dan Sabtu lalu.

Permohonan maaf itu dikemukakan melalui kenyataan rasmi dikeluarkan di laman sosial Facebook RXZ Members-Official pada petang Ahad.

Menurut kenyataan itu, apa yang berlaku itu adalah di luar jangkaan dan akan diperbaiki pada masa akan datang.

"Kami memohon maaf kepada seluruh RXZ Members yang hadir dengan penuh bersemangat sehingga sanggup berhabisan wang ringgit, masa, tenaga dan melakukan persediaan untuk sama-sama menjayakan himpunan ini.

"Kami juga memohon maaf kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) kerana tanpa disedari masih ada segelintir kecil yang tak sengaja gagal mengikut lunas undang-undang jalan raya," katanya menerusi kenyataan itu.

Jelasnya, pihaknya juga berusaha memastikan program itu berjalan lancar memandangkan ia kali kelima diadakan serta turut mendapat penyertaan dari Indonesia, Thailand dan Singapura.

"Kami telah mendapatkan nasihat serta saranan yang baik daripada pihak berkuasa, namun tidak berupaya untuk menjadikan ia sempurna.

"Oleh itu, kami dengan rendah diri memohon maaf dan akan cuba melakukan penambahbaikan untuk masa akan datang," kata kenyataan itu.

Difahamkan, lebih 60,000 pengunjung hadir memeriahkan program RXZ Members 5.0 yang diadakan di negeri ini pada kali ini.

Program yang berlangsung selama dua hari itu telah memberikan limpahan ekonomi kepada penduduk setempat. - Sinar Harian