Ringkasan AI
- Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim mengurniakan Darjah Kebesaran Pangkat Pertama Panglima Gagah Pasukan Polis (PGPP) kepada 11 pegawai kanan PDRM.
- Istiadat Pengurniaan Darjah Kepahlawanan Pasukan Polis dan Pingat Keberanian Polis 2026 berlangsung di Istana Negara dengan 159 penerima pingat keseluruhan.
- Selain PGPP, darjah PSPP, PPP, KPP dan BPP turut dikurniakan kepada pegawai dan anggota PDRM sebagai penghargaan atas jasa dan pengorbanan mereka.
KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim hari ini berkenan mengurniakan Darjah Kebesaran Pangkat Pertama Panglima Gagah Pasukan Polis (PGPP) kepada Pengarah Cawangan Khas Bukit Aman Datuk Seri Ibrahim Darus.
Pengurniaan itu disempurnakan pada Istiadat Pengurniaan Darjah Kepahlawanan Pasukan Polis (DKPP) dan Pingat Keberanian Polis (PKP) Tahun 2026 yang berlangsung di Istana Negara, di sini.
Ibrahim mendahului senarai 159 penerima pingat pada istiadat yang dilaksanakan sebagai pengiktirafan dan penghargaan terhadap jasa, khidmat bakti serta pengorbanan pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam melaksanakan amanah memelihara keselamatan dan keamanan negara.
Seri Paduka Baginda turut berkenan mengurniakan darjah PGPP kepada Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman Datuk Seri Muhammed Hasbullah Ali; Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman Datuk Aida Abdul Hamid; dan Pengarah Jabatan Logistik dan Teknologi Bukit Aman Datuk Redzuan Abd Hamid.
Turut menerima darjah kebesaran yang sama ialah Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Bukit Aman Datuk Seri Noor Hisam Nordin; Pengarah Pengurusan PDRM Datuk Mohamad Zainal Abdullah; Ketua Polis Selangor Datuk Shazeli Kahar; Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Fadil Marsus dan Ketua Polis Kedah Datuk Adzli Abu Shah.
Melengkapkan senarai 11 penerima PGPP pada istiadat itu ialah Timbalan Pengarah Cawangan Khas Bukit Aman Datuk Mohd Hairuddin Che Hamid dan Timbalan Pengarah Cawangan Khas II Bukit Aman Datuk Mohammad Shaharul Md Osman.
Turut hadir pada istiadat itu ialah Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah, Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri Datuk Dr Awang Alik Jeman dan Ketua Polis Negara Tan Sri Mohd Khalid Ismail.
Pada istiadat berkenaan, Sultan Ibrahim turut berkenan mengurniakan darjah Panglima Setia Pasukan Polis (PSPP) kepada 31 penerima; Pahlawan Pasukan Polis (PPP) kepada 44 penerima; dan Kesatria Pasukan Polis (KPP) kepada 15 penerima.
Selain itu, sebanyak 58 individu lagi menerima darjah Bentara Pasukan Polis (BPP) pada istiadat hari ini.
-- BERNAMA