KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini memberi kebenaran kepada pengarah dan penerbit filem Mentega Terbang untuk memulakan semakan kehakiman bagi mencabar perintah kerajaan yang melarang tayangan filem itu sejak September tahun lepas.

Hakim Datuk Amarjeet Singh membuat keputusan itu selepas mendengar hujahan peguam Zaid Malek yang mewakili pengarah Mohd Khairianwar Jailani, 32, dan penerbit Tan Meng Kheng, 37, serta Peguam Persekutuan Mohammad Sallehuddin Md Ali yang mewakili Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan kerajaan, selaku responden.

Hakim itu turut menetapkan 14 Feb depan untuk pengurusan kes manakala tarikh pendengaran semakan kehakiman akan ditetapkan kemudian.

Terdahulu Mohammad Sallehuddin yang membantah permohonan kedua-dua pemohon (Mohd Khairianwar dan Tan) berhujah bahawa keputusan KDN yang mengharamkan filem itu tidak boleh disemak di mahkamah atas apa jua alasan.

"Keputusan KDN untuk mengharamkan filem itu tidak boleh dipertikaikan secara undang-undang dan perintah larangan itu tidak tertakluk kepada semakan kehakiman," katanya.

Zaid pula berhujah bahawa larangan yang dikeluarkan itu boleh dicabar di mahkamah jika wujud keadaan luar biasa.

Dalam permohonan difailkan pada Disember lepas, kedua-dua pemohon mendakwa keputusan kerajaan mengharamkan filem itu sebagai tidak rasional kerana melanggar kebebasan bersuara yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Mereka mendakwa keputusan itu juga menjejaskan pendapatan mereka kerana filem berkenaan tidak boleh ditayangkan atau diedarkan di mana-mana lokasi dalam negara ini dan oleh itu, kedua-duanya memohon perintah mahkamah untuk membatalkan arahan berkenaan dan mengisytiharkan Akta Penapisan Filem sebagai tidak berperlembagaan.

Sebelum ini, KDN mengharamkan tayangan dan publisiti filem itu menerusi Warta Kerajaan P.U (A) 2662 Akta Penapisan Filem 2002 Perintah Penapisan Filem (Larangan) 2023 bertarikh 21 Ogos 2023 yang ditandatangani oleh Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Filem berkenaan yang ditayang menerusi platform penstriman video, sebelum ini mengundang kecaman dan kegusaran orang awam kerana didakwa memaparkan adegan dengan unsur bertentangan fahaman serta kepercayaan agama.

Pada 17 Jan lepas, Mohd Khairianwar dan Tan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini atas pertuduhan melukakan perasaan agama orang lain melalui filem itu.

-- BERNAMA