MALAYSIA
Pengarah syarikat bergelar 'datuk' direman, kes pengubahan wang haram RM75 juta

Menurut sumber, suspek lelaki berusia lingkungan 50-an itu ditahan kira-kira pukul 4 petang Rabu ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM. - Foto sumber
KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menahan reman seorang pengarah syarikat bergelar 'datuk' kerana disyaki terlibat dalam pengubahan wang haram, bernilai kira-kira RM75 juta.
Ringkasan AI
- Seorang lelaki bergelar 'Datuk' direman empat hari kerana disyaki terlibat dalam pengubahan wang haram bernilai RM75 juta berkaitan projek pembangunan rangkaian fiber pada 2012.
- Tangkapan dibuat susulan Op Fibre oleh SPRM yang turut melibatkan serbuan di empat lokasi dan pembekuan 12 akaun bank bernilai kira-kira RM400,000.
- Kes disiasat mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA).
“Suspek dipercayai telah melakukan perbuatan tersebut pada tahun 2012 bagi kelulusan pembiayaan pinjaman berjumlah RM400 juta untuk sebuah projek pembangunan rangkaian fiber.
“Siasatan awal mengesyaki RM75 juta tersebut telah disalurkan kepada syarikat milik suspek,” katanya.
Sumber menambah tangkapan terhadap suspek dibuat susulan Op Fibre yang dijalankan Bahagian Operasi Khas (BOK), SPRM pada 30 Jun lalu.
Melalui operasi berkenaan, BOK telah menggeledah empat lokasi berbeza termasuk kediaman dan pejabat suspek di sekitar Selangor dan Kuala Lumpur.
“SPRM telah membekukan 12 akaun bank termasuk akaun persendirian dan syarikat bernilai kira-kira RM400,000,” jelas sumber itu.
Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Operasi Khas, Datuk Mohamad Zamri Zainul Abidin ketika dihubungi mengesahkan tangkapan terhadap suspek.
Katanya, kes disiasat di bawah kesalahan-kesalahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami