Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) menahan reman dua pengarah syarikat bergelar Datuk bagi membantu siasatan berhubung tuntutan palsu projek naik taraf jalan raya pedalaman di Sarawak.

Perintah tahanan reman selama dua hari hingga Khamis itu dikeluarkan Majistret Zubaidah Sharkawi di Mahkamah Majistret Kuching di sini hari ini.

Dua individu itu ditahan berhubung siasatan rasuah pelaksanaan 10 projek jalan negeri di pedalaman Sarawak di bawah Kementerian Pertahanan.

Difahamkan, kesemua projek berkenaan bernilai lebih RM800 juta.

Ia membabitkan projek pembinaan jalan menghubungkan beberapa bandar kecil di Sarawak yang dikenali sebagai Projek Jiwa Murni di bawah kementerian berkenaan dan ia dianugerahkan kepada syarikat itu sejak tahun 2010 hingga 2016.

Daerah serta kawasan yang terbabit adalah di Miri, Kapit, Ba'kelalan, Limbang dan Belaga.

Dua pengarah berusia 44 tahun itu adalah rakan kongsi dan ditahan dalam satu operasi khas SPRM dengan kerjasama Kementerian Pertahanan di Kuching, Sarawak.

Kedua-dua pengarah itu kata sumber adalah rakan kongsi yang memiliki tiga syarikat, yang dikesan memonopoli projek itu.

Sumber berkata banyak aduan yang diterima daripada masyarakat setempat mengenai keadaan jalan yang teruk disebabkan kualiti pembinaan yang tidak menepati spesifikasi.

Siasatan di lokasi mendapati ada jalan yang berada dalam projek itu tidak lagi dapat digunakan serta rosak meskipun baru siap dibina beberapa bulan sebelum itu.

Malah sumber memberitahu kajian teknikal yang dilakukan mendapati ia tidak menepati piawaian pembinaan yang ditetapkan oleh Jabatan Kerja Raya memandangkan lapisan tar yang digunakan dianggarkan setebal lima sentimeter malah tiada lapisan batu kerikil dan pasir seperti dalam syarat kontrak.

Beliau berkata keadaan itu menyebabkan jalan yang dibina itu cepat rosak kerana dilalui kenderaan berat termasuk lori balak, malah ia tidak dapat digunakan kenderaan ringan meskipun tujuan asal dinaikkan taraf sebagai jalan penghubung antara kawasan pedalaman.

SPRM melakukan siasatan mengikut Seksyen 16 (b), 17 (a) dan Seksyen 18 Akta SPRM 2009.