Skip to main content

Malaysia

Pengarah syarikat percetakan direman bantu siasatan tuntutan palsu RM100,000

sprm
Perintah reman selama lima hari hingga 22 Ogos ini terhadap suspek lelaki berusia lingkungan 60-an itu dikeluarkan Majistret Sharda Shienha Mohd Suleiman selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Ayer Keroh, pagi tadi. -Gambar fail
Advertisement

MELAKA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Melaka menahan reman seorang pengarah syarikat percetakan kerana disyaki mengemukakan dokumen mengandungi butir matan palsu melibatkan tuntutan pembayaran kira-kira RM100,000.

Perintah reman selama lima hari hingga 22 Ogos ini terhadap suspek lelaki berusia lingkungan 60-an itu dikeluarkan Majistret Sharda Shienha Mohd Suleiman selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Ayer Keroh, pagi tadi.

Menurut sumber, suspek ditahan kira-kira jam 8 malam Isnin ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Melaka.

"Siasatan awal mendapati suspek dipercayai melakukan perbuatan itu pada tahun 2021 membabitkan perkhidmatan mereka bentuk, mencetak dan membekal buku coffee table berkaitan bekas pemimpin tertinggi negeri berkenaan.

"Suspek dipercayai bukan sahaja mengemukakan dokumen tuntutan pembayaran buku coffee table tersebut yang mengandungi butir matan palsu, malah pembekalan yang dilakukan juga tidak sempurna," menurut sumber itu.

Sementara itu, Pengarah SPRM Melaka Datuk Adi Supian Shafie ketika dihubungi mengesahkan penahanan berkenaan.

Beliau berkata kes itu disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009 yang memperuntukkan hukuman terhadap mana-mana individu yang mengemukakan tuntutan atau dokumen mengandungi butiran palsu dengan niat untuk memperdayakan.

SPRM kini sedang meneruskan siasatan bagi mengenal pasti semua pihak yang terlibat serta melengkapkan kertas siasatan berhubung kes berkenaan.

 

Must Watch Video

Advertisement