Skip to main content

Berita

Konflik Asia Barat: Malaysia gesa PBB, masyarakat antarabangsa bertindak segera

Sumber: Wisma Putra
Malaysia menggesa semua pihak meredakan ketegangan melalui dialog dan diplomasi, sambil menyeru PBB serta masyarakat antarabangsa mengambil tindakan segera bagi memastikan pihak bertanggungjawab dibawa ke muka pengadilan. - Gambar fail/Bernama

PUTRAJAYA: Malaysia mengecam sekeras-kerasnya serangan terhadap Iran, dan serangan balas republik itu terhadap beberapa negara di rantau Asia Barat iaitu Arab Saudi, Bahrain, Emiriah Arab Bersatu, Kuwait dan Qatar pada Sabtu.

Wisma Putra dalam satu kenyataan berkata, siri serangan tersebut melanggar prinsip kedaulatan dan integriti wilayah, dan merupakan pelanggaran serius terhadap undang-undang antarabangsa, termasuk Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Advertisement

Selain itu, Kementerian berkata, situasi tersebut bakal menimbulkan ancaman besar terhadap keamanan dan keselamatan antarabangsa.

“Tindakan ketenteraan seperti ini berisiko menambah ketidakstabilan di wilayah yang sudah rapuh dan membahayakan nyawa orang awam.

“Pada saat kritikal ini, semua usaha mesti diambil untuk mengelakkan peningkatan ketegangan dan potensi implikasi yang menjejaskan kestabilan serantau dan membawa kesan global yang lebih luas.

“Malaysia menegaskan bahawa setiap pertikaian mesti diselesaikan melalui dialog dan diplomasi, dengan menghormati undang-undang antarabangsa sepenuhnya,” menurut kenyataan itu lagi.

Wisma Putra berkata, Malaysia menyeru masyarakat antarabangsa termasuk Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, untuk mengambil tindakan segera dan tegas bagi menangani perbuatan ini serta memastikan mereka yang bertanggungjawab diadili mengikut undang-undang antarabangsa.

Ketegangan di rantau Asia Barat memuncak selepas Amerika Syarikat dan Israel melancarkan operasi ketenteraan besarbesaran terhadap Iran pada Sabtu, yang seterusnya mengakibatkan tindak balas Iran terhadap beberapa negara Teluk. 

Letupan dilaporkan di Bahrain, Kuwait, Qatar, Jordan dan Emiriah Arab Bersatu selepas negaranegara tersebut mengesahkan pemintasan peluru berpandu yang dilancarkan dari Iran. 

Di UAE, beberapa peluru berpandu Iran berjaya dipintas, namun serpihan jatuh di beberapa kawasan di Abu Dhabi dan Dubai. 

Qatar pula mengecam keras serangan Iran yang disifatkan sebagai pelanggaran kedaulatan dan ancaman terhadap keselamatan nasional negara itu. 

Laporan antarabangsa turut mengesahkan sekurangkurangnya seorang terbunuh di Abu Dhabi selepas gelombang serangan pertama Iran. 

Bahrain memaklumkan serangan peluru berpandu turut menyasarkan ibu pejabat Tentera Laut AS di negara itu, manakala Kuwait dan Qatar menutup ruang udara susulan siri letupan dan ancaman berterusan. 

Serangan Iran itu merupakan tindak balas terhadap operasi ketenteraan ASIsrael yang menyasarkan beberapa lokasi strategik di Tehran dan bandar-bandar lain. 

Media antarabangsa melaporkan bunyi letupan di Tehran, Qom, Karaj dan Kermanshah, manakala Israel turut berdepan serangan peluru berpandu dan dron yang dilancarkan dari Iran. 

Perkembangan itu menimbulkan kebimbangan besar terhadap risiko berlakunya konflik berskala lebih besar yang melibatkan negaranegara Teluk, sekutu Barat, serta rangkaian pangkalan tentera AS di rantau berkenaan. 

Ia turut menyebabkan penutupan sementara ruang udara di beberapa negara serta gangguan penerbangan komersial. 

Must Watch Video