Skip to main content

Malaysia

Pengasuh pemangkin ekonomi keluarga - Tengku Zafrul

KUALA LUMPUR, 20 Sept - Penasihat Kanan Politik kepada Perdana Menteri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz (tengah) pada gimik perasmian Laman Sesawang Kasih MADANI pada Program Gala Pesona Kasih MADANI peringkat Zon Tengah di Pusat Konvensen MPAJ, hari ini. Turut hadir, Timbalan Pengerusi, Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), Juwairiya Zulkifli (tiga, kanan) dan Ketua Pegawai Operasi (COO) Yayasan Sime Darby, Muzdalifah Mohd Nasir (dua, kiri). - fotoBERNAMA (2026)
Penasihat Kanan Politik kepada Perdana Menteri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz (tengah) pada gimik perasmian Laman Sesawang Kasih MADANI pada Program Gala Pesona Kasih MADANI hari ini. - Foto Bernama
Advertisement

KUALA LUMPUR: Profesion pengasuhan perlu dilihat sebagai komponen penting dalam menyokong ekonomi keluarga dan bukan sekadar pekerjaan menjaga kanak-kanak, kata Penasihat Kanan Politik kepada Perdana Menteri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Beliau berkata peranan pengasuh yang dipercayai, membolehkan ibu bapa bekerja dengan lebih tenang selain memastikan anak-anak mendapat penjagaan yang baik, sekali gus menjadikan sektor pengasuhan sebahagian daripada ekosistem sokongan ekonomi dan sosial negara.

"Kita perlu mengubah persepsi yang ia sekadar satu pekerjaan. Hakikatnya, profesion pengasuhan amat berkait dengan kemampuan ibu bapa untuk bekerja.

"Menjaga mereka yang menjaga anak-anak kita samalah seperti menjaga masa depan Malaysia," katanya ketika berucap merasmikan Gala Pesona Kasih MADANI Zon Tengah di Pusat Konvensyen Majlis Perbandaran Ampang Jaya, Taman Melawati, di sini hari ini.

Tengku Zafrul berkata pengalaman berinteraksi dengan komuniti turut memperlihatkan bagaimana sesebuah keluarga amat bergantung kepada pengasuh yang boleh dipercayai, khususnya bagi membolehkan ibu bapa meneruskan pekerjaan dan pada masa sama memastikan kebajikan anak terpelihara.

Beliau turut berkata aspek latihan, pensijilan, pengiktirafan dan perundangan berkaitan pengasuhan perlu terus diberi keutamaan bagi memastikan profesion itu mempunyai standard yang lebih kukuh serta mendapat pengiktirafan sewajarnya.

Sehubungan dengan itu, beliau berkata pandangan dan cabaran dikongsi golongan pengasuh menerusi program berkenaan akan dibawa kepada Kementerian Kewangan dan Perdana Menteri untuk dipertimbangkan dalam perancangan 2027, termasuk aspek sokongan, latihan, persijilan dan peluasan program berkaitan.

Kira-kira 600 pengasuh tidak formal, ahli keluarga, mentor, rakan program dan pihak berkepentingan menghadiri Gala Pesona Kasih MADANI Zon Tengah yang dianjurkan bagi memperkukuh pengetahuan, kemahiran serta tahap profesional golongan pengasuh berasaskan rumah di Malaysia.

Sejak dilancarkan pada Ogos 2025, Kasih MADANI telah mencapai lebih 1,000 pengasuh di empat negeri iaitu Kuala Lumpur, Perak, Kedah dan Pulau Pinang menerusi program seperti Kursus Rintis Asuhan MADANI (KARISMA), Seminar Asuhan MADANI (SEMAI) dan Bimbingan Keterampilan Profesionalisasi Asuhan MADANI (BITARA). 

Inisiatif yang dilaksanakan Merdeka Center dengan sokongan Yayasan Sime Darby dan Kementerian Kewangan menerusi Belanjawan 2026 itu turut memberi tumpuan kepada pembangunan kemahiran, perancangan kerjaya, kepimpinan, penjenamaan diri serta bimbingan mentor bagi memperkukuh profesionalisme pengasuh.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement