Skip to main content

Malaysia

Pendekatan PCA bantu turapan lebih tepat, elak kerosakan jalan berulang - Ahmad Maslan

Kerajaan memperuntukkan RM34 juta pada tahun lalu bagi menilai semula keadaan turapan jalan melibatkan 20,000 kilometer rangkaian Jalan Persekutuan. -Gambar fail/Bernama
Kerajaan memperuntukkan RM34 juta pada tahun lalu bagi menilai semula keadaan turapan jalan melibatkan 20,000 kilometer rangkaian Jalan Persekutuan. -Gambar fail/Bernama

Ringkasan AI

  • Kementerian Kerja Raya melaksanakan Performance Condition Assessment (PCA) untuk mengenal pasti punca sebenar kerosakan dan memastikan penurapan Jalan Persekutuan lebih tepat.
  • Kerajaan memperuntukkan RM34 juta pada tahun lalu bagi menilai semula keadaan turapan jalan melibatkan 20,000 kilometer rangkaian Jalan Persekutuan.
  • PCA membolehkan jurutera membezakan kerosakan permukaan dan struktur, memastikan kaedah pemulihan bersesuaian serta mengelakkan pembaziran kerja tampalan tidak efektif.
Advertisement

KUALA LUMPUR: Kaedah penilaian saintifik menerusi Performance Condition Assessment (PCA) membolehkan Kementerian Kerja Raya (KKR) mengenal pasti punca sebenar kerosakan dan memastikan penurapan Jalan Persekutuan dilaksanakan dengan lebih tepat serta berkesan.

Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Dr. Ahmad Maslan berkata, pendekatan berasaskan data ini merupakan pembaharuan penting yang dilaksanakan, sekali gus mengelakkan pembaziran melalui kerja tampalan jalan yang tidak bersesuaian.

Menurut beliau, kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM34 juta pada tahun lalu khusus untuk menilai semula keadaan turapan jalan merangkumi kira-kira 20,000 kilometer rangkaian Jalan Persekutuan di seluruh negara.

Advertisement

“Kita telah membuat apa yang dipanggil sebagai Performance Condition Assessment (PCA). Sebelum ini tak dibuat PCA ini. Jadi kita dah buat penilaian keadaan turapan.

“Dan daripada situ, kita tahu kerosakan jalan itu sama ada kategori praktikal, yang kita boleh pulihkan sikit, yang kedua sama ada kategori struktur, yang perlu turapan lebih.

Advertisement

“Ia bermula tahun ini yang dibuat oleh Kementerian Kerja Raya berbeza daripada sebelum-sebelum ini. Dan kita berharap dengan ada PCA ini, turapan dibuat akan lebih tepat,” katanya, di sini, pada Rabu.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Dr. Hajah Halimah Ali (PN-Kapar) di Dewan Rakyat mengenai kualiti penurapan, tempoh liabiliti kecacatan dan perancangan analisis kos kitaran hayat bagi menangani masalah kerosakan jalan berulang.

Jelas Ahmad Maslan, data terperinci daripada PCA membolehkan jurutera jalan membezakan antara kerosakan praktikal yang hanya melibatkan lapisan permukaan haus, dengan kerosakan struktur yang menjejaskan asas bawah jalan akibat bebanan kenderaan berat.

Langkah ini penting bagi memastikan kaedah pemulihan yang dipilih bersesuaian dengan tahap kerosakan dan bukan sekadar bergantung kepada tampalan kosmetik yang mudah rosak semula.

Terdahulu, beliau menggariskan lima faktor utama yang menyumbang kepada kerosakan jalan raya di Malaysia iaitu kenderaan lebih muatan, sistem saliran tidak sempurna atau banjir, perubahan suhu cuaca yang ekstrem, faktor usia jalan, serta mutu kualiti turapan itu sendiri.

Must Watch Video

Advertisement