Ringkasan AI
- Malaysia meraih tiga pengiktirafan global menerusi Shell LiveWire Impact Makers 2026, melibatkan Earthlings Coffee Workshop, Qarbotech dan Satu Creative.
- Earthlings Coffee Workshop dinobatkan Juara Global Impak Sosial, manakala Qarbotech menerima Naib Juara Kelestarian Alam Sekitar.
- Satu Creative menerima Pengiktirafan Khas Rakan Pelaksana Terbaik Dunia, manakala dua syarikat lain mara sebagai finalis kategori Inovasi Perniagaan.
KUALA LUMPUR: Malaysia meraih tiga pengiktirafan di peringkat global menerusi Shell LiveWire Impact Makers 2026, dengan Earthlings Coffee Workshop, Qarbotech dan Satu Creative diiktiraf atas sumbangan mereka dalam bidang impak sosial, kelestarian alam sekitar dan pembangunan keusahawanan.
Dalam satu kenyataan, Earthlings Coffee Workshop yang berasal dari Sarawak diumumkan sebagai Juara Global kategori Impak Sosial, manakala Qarbotech dari Semenanjung Malaysia menerima anugerah Naib Juara kategori Kelestarian Alam Sekitar.
Pada masa sama, Satu Creative, rakan pelaksana Shell LiveWire Malaysia, menerima Pengiktirafan Khas Rakan Pelaksana Terbaik Dunia.
Earthlings Coffee Workshop terkenal menerusi Projek Pemurnian Liberica Sarawak yang melibatkan lebih 500 pekebun kecil komuniti pribumi di Sarawak, dengan tumpuan kepada peningkatan kualiti kopi serta pembangunan pasaran kopi premium Liberica dan Excelsa.
“Kami berterima kasih kepada Shell LiveWire dan Satu Creative atas bimbingan serta sokongan yang diberikan. Keseluruhan wang hadiah akan dilaburkan semula ke dalam projek ini bagi membantu petani meningkatkan pengeluaran serta membawa kopi keluaran Sarawak ke pasaran yang lebih luas,” kata Dr. Kenny Lee, Pengasas Bersama dan Pengarah Urusan Earthlings.
Sementara itu, Qarbotech membangunkan teknologi berasaskan nano bagi membantu petani meningkatkan produktiviti pertanian menerusi produk QarboGrow yang direka untuk meningkatkan kecekapan fotosintesis tumbuhan.
Inisiatif syarikat itu mengintegrasikan teknologi pertanian dengan keperluan operasi petani, sekali gus menyumbang kepada pengukuhan jaminan bekalan makanan serta memperkasa amalan pengeluaran makanan yang lebih mampan dan berdaya tahan.
“Pengiktirafan ini milik petani, pengedar dan rakan strategik yang menyokong Qarbotech sejak awal penubuhannya. Kepercayaan mereka terus menjadi pemangkin usaha kami dalam membangunkan penyelesaian yang membantu petani meningkatkan produktiviti dan taraf hidup,” kata Chor Chee Hoe, Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Qarbotech.
Dalam kenyaatan sama, Malaysia turut diwakili dalam kategori Inovasi Perniagaan menerusi Global Cerah dan REBOOZ, yang berjaya mara sebagai finalis pertandingan tersebut.
Menurut Charlotte Friedli, Ketua Global Shell LiveWire, para finalis tahun ini mewakili pelbagai model perniagaan berimpak tinggi dari seluruh dunia dan membuktikan bagaimana syarikat boleh menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi sambil menangani cabaran sosial serta alam sekitar.
Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif Satu Creative, Ahmad Azuar Zainuddin berkata penerimaan Anugerah Shell LiveWire Impact Makers merupakan satu pencapaian bermakna bagi syarikat itu yang memulakan penglibatannya dalam program Shell LiveWire di Sarawak kira-kira lapan tahun lalu.
Beliau berkata Satu Creative kini melaksanakan pelbagai program keusahawanan di seluruh negara serta semakin memperluaskan jangkauannya ke rantau Asia Tenggara, sambil menyifatkan pengiktirafan berkenaan sebagai dorongan untuk terus membangunkan program yang memberi impak kepada usahawan.
Anugerah Shell LiveWire Impact Makers merupakan sebahagian daripada program global Shell LiveWire yang mengiktiraf usahawan dalam tiga kategori utama iaitu Impak Sosial, Kelestarian Alam Sekitar dan Inovasi Perniagaan. Pemenang bagi edisi 2026 diumumkan dalam majlis penyampaian anugerah secara dalam talian pada 3 November lalu.