Ringkasan AI
- Mahkamah Tinggi membenarkan Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim memulakan prosiding semakan kehakiman terhadap Lembaga Hasil Dalam Negeri (HASiL).
- Permohonan Abdul Azeez berkaitan pembatalan sepihak perjanjian penyelesaian cukai dan denda RM4.8 juta bagi tahun taksiran 2011 hingga 2020.
- Mahkamah turut membenarkan permohonan untuk menggantung sementara tindakan HASiL sehingga permohonan penangguhan inter-parte didengar pada 16 November.
KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi hari ini memberi kebenaran kepada bekas Pengerusi Lembaga Tabung Haji (TH) Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim untuk memulakan prosiding semakan kehakiman terhadap Lembaga Hasil Dalam Negeri (HASiL) yang didakwa membatalkan secara sepihak perjanjian penyelesaian cukai dan denda berjumlah RM4.8 juta.
Hakim S. Indra Nehru membuat keputusan itu selepas mendapati terdapat isu undang-undang serta merit dalam permohonan tersebut yang boleh dibicarakan.
Sementara itu, peguam Datuk Amer Hamzah Arshad yang mewakili Abdul Azeez memberitahu pemberita, mahkamah turut membenarkan permohonannya untuk menggantung sementara sebarang tindakan susulan oleh HASiL terhadap anak guam sementara menunggu permohonan penangguhan secara inter-parte (kedua-dua pihak) didengar dan diputuskan oleh mahkamah.
"Mahkamah menetapkan 16 Nov ini bagi pengurusan kes untuk menetapkan tarikh pendengaran permohonan penangguhan secara inter-parte dan semakan kehakiman," kata peguam itu.
Prosiding hari ini turut dihadiri Peguam Kanan Persekutuan Ng Siew Wee, mewakili Jabatan Peguam Negara (AGC).
Dalam permohonan semakan kehakiman yang difailkan pada 6 Sept lepas, Abdul Azeez memohon mahkamah mengetepikan keputusan HASiL yang membatalkan secara sepihak perjanjian bertarikh 9 Feb 2022 dan notis taksiran komposit seterusnya bertarikh 22 Mac 2022, melibatkan tahun taksiran 2011 hingga 2020.
Antara lain, beliau mendakwa perjanjian dan notis taksiran komposit itu adalah muktamad serta mengikut lunas undang-undang, dan memohon perintah mahkamah bagi memaksa HASiL mematuhi perjanjian tersebut.
Abdul Azeez mendakwa HASiL telah menjalankan siasatan cukai terhadapnya pada akhir 2021 atau awal 2022, yang membawa kepada perjanjian bertarikh 9 Feb 2022.
Di bawah perjanjian itu, kedua-dua pihak telah mencapai persetujuan mengenai penyelesaian cukai serta denda sebanyak RM4.8 juta bagi tahun taksiran 2011 hingga 2020, dan beliau telah menyelesaikan jumlah tersebut melalui ansuran seperti yang dipersetujui.
-- BERNAMA