Pengurus pusat asuhan (taska) semenangnya tidak dibenarkan sama sekali mengenakan sebarang hukuman berbentuk fizikal terhadap kanak-kanak dibawah jagaan mereka, sekiranya mereka melakukan kesalahan.

Sebaliknya, pengurus taska terbabit seharusnya menasihat dan mengajar cara yang betul melakukan sesuatu perkara.

“Tindakan seperti memukul, merotan atau mencubit bukan sahaja boleh mendatangkan kecederaan kepada tubuh badan, malah emosi kanak-kanak,” kata Pengurus Pusat Asuhan Young Thinkers, Marissa Haron.

Katanya, kanak-kanak seharusnya diberitahu sebab mengapa mereka tidak boleh melakukan sesuatu perkara seperti bergaduh dan atau mengambil barang milik individu lain tanpa kebenaran.

“Walaupun mereka berusia dua hingga empat tahun, tetapi pengasuh perlu menerapkan nilai-nilai murni termasuklah kerjasama dan kekeluargaan,” katanya ketika ditemui Astro AWANI.


Selain itu, Garis Panduan Pengendalian Kanak-Kanak Di Pusat Asuhan yang disediakan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) turut menetapkan, kawasan sekitar dan ruang dalaman pusat asuhan harus dilengkapi peralatan keselamatan.

Antaranya, menyediakan alat pemadam api, laluan rintangan api serta melabel setiap peralatan yang digunakan dalam sesi pembelajaran.

“Pagar dan pintu kena sentiasa dikunci, walaupun cuma seketika, saya tidak akan mengizinkan sesiapa masuk ke pusat asuhan sewaktu saya dirumah.

“Sekiranya ada individu tidak dikenali menjemput anak-anak di pusat asuhan, saya akan terus menghubungi ibu bapa kanak-kanak untuk dikenalpasti,” tambah Marissa yang berkongsi pengalaman menguruskan sebuah taska.

Selain itu jelas beliau, aspek pemakanan turut diambil kira bagi memastikan kanak-kanak di pusat asuhan tidak terdedah kepada sebarang risiko penyakit.