KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu mewujudkan satu jawatankuasa khas bagi mengukuhkan perpaduan sesama rakyat pelbagai bangsa dan agama di negara ini.

Menurut Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan, ia bagi mengelak isu sensitif seperti kes terbaru membabitkan dua pengawal peribadi dipukul majikan kerana berpuasa.

"Kalau kita tidak pandai saling menghormati, ia akan membawa kepada perkara tidak kita ingini seperti pergaduhan dan sebagainya.

"Kita tidak mampu menghadapi keadaan sebegitu bahaya. Maka, saya mohon dan kita minta kerajaan tubuh jawatankuasa ambil kes ini, sebagai penyebab untuk mengubah keadaan kita tidak serius dan mengambil mudah sahaja," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat PPIM pada Jumaat.

Tegasnya, rakyat kini sudah terlalu tertekan dengan keadaan semasa akibat pandemik COVID-19 serta kegawatan ekonomi.

Justeru, kerajaan ujarnya perlu mencari kaedah terbaik untuk memastikan perkara sama tidak lagi berulang dan merugikan perpaduan rakyat pelbagai kaum di negara ini.

"Kita minta kerajaan ambil tindakan yang rakyat boleh terima. Jangan cerita pasal politik sahaja, kena ubah bangsa kita. Kena ada anjakan paradigma supaya tidak biarkan yang lemah dihina.

"Kita sendiri pun tidak boleh lemah, sebenarnya kelemahan itu menjemput penjajahan, dan ini yang kita dapat," katanya lagi.

Dalam pada itu, Presiden Pertubuhan Kebajikan Darul Islah Malaysia (PERKID), Ustaz Masrizi Sat pula berpendapat bahawa tindakan yang disifatkan menghina Allah SWT dan agama Islam itu adalah satu penghinaan yang melukakan perasaan umat Islam di negara ini.

"Saya minta isu ini, walaupun Polis Diraja Malaysia (PDRM) dah ambil tindakan, tetapi tidak cukup.

"Kemarahan rakyat bukan isu jenayah sahaja, jenayah dari konteks undang-undang mungkin polis boleh ambil tindakan, (tetapi) penghinaan menghina Allah, Umat Islam dan ibadah puasa itu membuatkan kita sangat marah dan terluka," katanya.

Justeru jelasnya, pihak berkuasa perlu mengambil tindakan paling tegas terhadap suspek agar memberi pengajaran kepada semua lapisan masyarakat agar menghormati kepelbagaian agama.

"Kalau perkara ini tidak dibela, bagi kita, kerajaan gagal.

"Menteri Dalam Negeri, isu arwah Adib belum selesai, sekarang ini isu mencabar Islam, umat Islam terlalu terhadap kesabarannya," katanya lagi.

BACA: Dua 'bodyguard' dipukul, diacu pistol, diugut bunuh kerana berpuasa

BACA: 4 ditahan polis kes pukul, ugut bunuh 'bodyguard' kerana puasa

BACA: Polis bongkar suspek dalang sindiket, rampas emas, wang RM28.45 juta

[TERKINI] Sidang media PPIM berhubung dua pengawal dibelasah kerana berpuasa | 16 April 2021

Terdahulu, Astro AWANI melaporkan dua pengawal peribadi yang cedera dipukul kerana berpuasa, dalam satu kejadian di sebuah kondominium di Jalan Pinang, ibu negara.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah, berkata siasatan awal mendapati kedua-dua mangsa bekerja di sebuah syarikat keselamatan dan dilantik sebagai pengawal peribadi suspek.

"Semasa berada di kondominium terbabit, suspek yang merupakan majikannya telah bertanya adakah mereka berpuasa ketika hari kejadian.

“Setelah diberitahu mereka berpuasa, suspek bertindak memarahi dan menampar kepala mangsa,” katanya.


Mahkamah | Pukul pengawal peribadi sebab puasa, empat lelaki direman