Skip to main content

Malaysia

Pengecualian cukai Yayasan Pendidikan TARC tertakluk pematuhan syarat - MOF

Kementerian kewangan_BERNAMA
Semakan terhadap permohonan Yayasan Pendidikan TARC untuk melanjutkan pengecualian cukai selepas kelulusan sedia ada tamat pada 2025 mendapati terdapat beberapa syarat yang masih belum dipenuhi sepenuhnya. - Gambar fail/Bernama
Advertisement

PUTRAJAYA: Pengecualian cukai bagi Yayasan Pendidikan TARC tertakluk kepada pematuhan syarat-syarat yang ditetapkan di bawah undang-undang percukaian, menurut Kementerian Kewangan (MOF).

MOF dalam kenyataan hari ini memaklumkan, selaras dengan pengumuman Perdana Menteri dan Menteri Kewangan Datuk Seri Anwar Ibrahim, mulai 27 November 2025,  kelulusan pengecualian cukai bagi institusi, organisasi atau tabung kebajikan yang layak boleh diberikan bagi tempoh maksimum 10 tahun di bawah Subseksyen 44(6) Akta Cukai Pendapatan 1967.

"Namun, kelulusan tersebut bukan secara automatik, tetapi tertakluk kepada pematuhan syarat-syarat yang ditetapkan di bawah undang-undang percukaian.

"Kerajaan menghargai dan mengiktiraf peranan Yayasan Pendidikan TARC dalam menyediakan pendidikan tinggi swasta yang berkualiti dan mampu milik kepada rakyat Malaysia," menurut MOF sambil menjelaskan bahawa dakwaan kerajaan memungkiri janji berhubung pengecualian cukai Yayasan Pendidikan TARC adalah tidak benar.

Menurut MOF, semakan terhadap permohonan Yayasan Pendidikan TARC untuk melanjutkan pengecualian cukai di bawah Subseksyen 44(6) selepas kelulusan sedia ada tamat pada 2025 mendapati terdapat beberapa syarat yang masih belum dipenuhi sepenuhnya termasuk pengukuhan tadbir urus dan pengurusan derma yang perlu diperbaiki.

"Mengambil kira peranan penting Yayasan Pendidikan TARC dalam sektor pendidikan, kerajaan telah mengambil pendekatan berhemah dengan memberi lanjutan pengecualian cukai sementara secara interim selama tiga tahun.

"Tempoh lanjutan ini memastikan kedudukan pengecualian cukai Yayasan Pendidikan TARC kekal sementara tindakan pematuhan syarat dimuktamadkan," menurut kenyataan itu.

Menurutnya kementerian bersedia membantu memudah cara Yayasan Pendidikan TARC dalam usaha penambahbaikannya.

“Sekiranya semua syarat dipenuhi, Yayasan Pendidikan TARC layak mendapat kelulusan pengecualian cukai bagi tempoh penuh 10 tahun, selaras dengan pengumuman kerajaan.

“Justeru, isu ini tidak seharusnya diputarbelitkan. Kerajaan kekal komited terhadap sokongan kepada pendidikan, termasuk peranan Yayasan Pendidikan TARC, namun semua kelulusan cukai mesti dibuat mengikut undang-undang, syarat pematuhan dan prinsip tatakelola yang baik,” menurut MOF.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement