Pengecualian tarif AS langkah positif untuk industri minyak sawit Malaysia - MPOC

MPOC berkata dari Januari hingga September 2025, eksport minyak sawit dan produknya meningkat sebanyak 8.1 peratus kepada 346,000 tan daripada 320,000 tan dalam tempoh yang sama pada 2024. - Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) mengalu-alukan pengecualian tarif yang diberikan oleh Amerika Syarikat (AS) untuk produk terpilih Malaysia termasuk minyak sawit di bawah Perjanjian Perdagangan Timbal Balas yang baru dimeterai.
Ketua Pegawai Eksekutifnya Belvinder Sron berkata pengecualian tarif sifar bagi minyak sawit Malaysia merupakan perkembangan yang positif.
"Eksport kami ke AS mencatatkan pertumbuhan kukuh dalam dua tahun lepas dan langkah ini akan terus mengukuhkan kedudukan kompetitif Malaysia dalam pasaran bernilai tinggi dan berkembang pesat.
"Kerjasama komersial yang lebih mendalam dengan AS akan memberi manfaat kepada pemain industri dan ekonomi Malaysia terutamanya melalui pengembangan hiliran dan integrasi teknologi," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Majlis itu berkata keputusan berkenaan dibuat pada ketika prestasi perdagangan dua hala berada pada tahap yang kukuh.
Dalam dua tahun kebelakangan ini, eksport minyak sawit Malaysia ke AS menunjukkan pertumbuhan yang konsisten, disokong oleh peningkatan permintaan daripada sektor pembuatan maju dan barangan pengguna.
MPOC berkata dari Januari hingga September 2025, eksport minyak sawit dan produknya meningkat sebanyak 8.1 peratus kepada 346,000 tan daripada 320,000 tan dalam tempoh yang sama pada 2024.
"Pertumbuhan ini dipacu terutamanya oleh minyak sawit mampan dengan penghantaran meningkat daripada 75,000 tan kepada 98,000 tan.
"Minyak sawit mampan dan stearin sawit kini menyumbang 79 peratus daripada eksport produk minyak sawit Malaysia ke AS dan digunakan dalam industri bernilai tinggi, daripada bahan makanan khas hingga produk penjagaan diri yang mempunyai alternatif terhad," katanya.
MPOC memberitahu, ini mencerminkan peranan yang semakin berkembang bagi minyak sawit Malaysia dalam rantaian bekalan di AS.
Dengan keadaan tarif yang lebih baik di AS, pengembangan berterusan keupayaan hiliran dan agenda kepelbagaian pasaran yang agresif, MPOC yakin dapat mengekalkan pertumbuhan eksport minyak sawit serta mengukuhkan peranan Malaysia sebagai rakan dagang yang boleh dipercayai dalam perdagangan dua hala dengan AS.
Ia menambah walaupun hasil perdagangan dengan AS amat menggalakkan, MPOC menekankan iaitu Malaysia akan terus meluaskan portfolio pasarannya untuk menyokong daya tahan perdagangan jangka panjang.
Katanya, Sub-Sahara Afrika, Timur Tengah dan Afrika Utara (MENA) serta ASEAN kekal sebagai wilayah tumpuan utama, disokong oleh permintaan yang meningkat terhadap minyak makan dan produk hiliran berasaskan sawit.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


