Semua syarikat bas ekspres mahupun pemandu yang dikesan mempunyai tunggakan saman yang banyak, tidak akan dibenarkan menjalankan operasi atau membawa penumpang pada musim perayaan ini.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, tindakan tegas itu diambil supaya syarikat bas memandang serius isu keselamatan penumpang selain memastikan pemandu lebih berhati-hati di jalan raya.

Beliau berkata, langkah itu juga adalah sebahagian daripada tindakan penguatkuasaan menerusi Kempen Keselamatan Jalan Raya dan Ops Bersepadu Sempena Perayaan Aidilfitri yang dilancarkan hari ini.

Bersempena kempen itu katanya, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bersama Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) akan menjalan operasi di kesemua depoh bas.

Ia bagi memastikan pemandu bas ekspres tidak mempunyai rekod saman serta rekod jenayah dan penyalahgunaan dadah.

“Semua saman perlu dibayar terlebih dahulu sebelum mereka dibenarkan (beroperasi). Ia sebagai satu peringatan kepada pemandu dan juga kepada syarikat bas itu kalau saman-saman itu belum diselesaikan kita tidak benarkan bas itu bergerak,”
katanya di majlis pelancaran Kempen Keselamatan Jalan Raya dan Ops Bersepadu sempena hari raya Aidilfitri peringkat kebangsaan 2018 di kawasan Rehat dan Rawat Seremban arah selatan di sini hari ini.

Mengulas lanjut jelasnya, matlamat utama pelaksanaan kempen dan operasi itu adalah bagi mengurangkan jumlah kemalangan dan kadar kematian yang disifatkannya amat serius dan membimbangkan.

Mengikut statistik PDRM, jumlah kemalangan jalan raya pada tahun 2017 telah merekodkan peningkatan kepada 533,875 orang berbanding 521,466 orang pada tahun 2016.

Antara agensi kerajaan dan swasta yang turut terlibat menjayakan kempen kali ini ialah Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR), JPJ, Miros, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jabatan Bomba dan Penyelamat, Syarikat Konsesi Lebuh Raya, Lembaga Lebuh Raya Malaysia dan AADK.