Penggiat industri makanan Sarawak perlu meningkatkan pengeluaran bagi memenuhi keperluan yang semakin tinggi, kata Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem.

Beliau berkata penternak, peladang, nelayan, pengeluar, pembekal dan sesiapa sahaja dalam industri makanan perlu merebut peluang yang ada supaya rakyat tidak terlalu bergantung kepada makanan import.

"Kita masih belum dapat hasilkan banyak makanan untuk memenuhi keperluan kita. Tahun lepas, kita import makanan bernilai kira-kira RM4 bilion ke Sarawak, dengan beras sahaja sudah bernilai hampir RM300 juta.

"Ini menunjukkan kita perlu banyak usaha lagi untuk pastikan kita cukup makanan tanpa menggunakan bahan kimia yang tinggi. Kita sedar bekalan makanan adalah isu global bukan sahaja di Sarawak, di Malaysia tetapi seluruh dunia dengan jumlah penduduk dunia semakin meningkat.

"Usaha kerajaan persekutuan melalui pelbagai peruntukan harus dipuji tetapi kita tidak boleh terlalu berharap dan bergantung, kita perlu ada daya untuk berusaha lebih. Jangan kais pagi makan pagi sahaja,...tak dapat...tak cukup," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap melancarkan jelajah 'Road to Malaysia Agriculture, Horticulture and Agrotourism Show (MAHA) (pameran pertanian, hortikultur dan agropelancongan) 2016 peringkat negeri Sarawak di 'Waterfront Lundu', kira-kira 90km dari Kuching di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek dan Timbalan Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Alfred Jabu.

Adenan berkata industri makanan juga perlu mempunyai sentuhan pertanian komersial kerana berpotensi besar untuk membantu dan mengimbangi keperluan harian selain penting untuk kemajuan ekonomi.

Sementara itu Ahmad Shabery dalam sidang akhbarnya berkata Sarawak mempunyai potensi besar untuk mengusahakan program tanaman jagung bijirin untuk keperluan seluruh negara pada masa akan datang.

Beliau berkata ini kerana Sarawak mempunyai kawasan tanah rata luas yang boleh ditanam jagung bijirin termasuk di kawasan jelapang padi ketika musim padi berakhir.

"Saya sudah bentangkan kepada Ketua Menteri (Tan Sri Adenan Satem) dan beliau memberi jaminan bahawa Sarawak akan beri kerjasama penuh," katanya sambil menambah projek perintis program penanaman jagung dijangka dijalankan di Sarawak akhir tahun ini.

Menurutnya program tanaman jagung bijirin ini juga memerlukan rangkaiannya sendiri dari segi menentukan jenis bijirin yang akan digunakan, siapa petani, siapa pembekal dan pengusaha yang akan terlibat.

"Ia mungkin ambil masa dan akan jadi dasar baharu pertanian negara," katanya.
Dalam pada itu, Ahmad Shabery berkata kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani mensasarkan jumlah pengunjung bagi MAHA 2016 pada 24 Nov hingga 4 Disember depan mencecah 3.5 juta pengunjung.

MAHA merupakan acara pameran bertaraf antarabangsa yang dianjurkan secara dwitahunan dan tahun ini ia bertemakan #OurFoodOurFuture (makanan kita, masa depan kita).