Penjualan rokok elektronik bukan sahaja salah di sisi undang-undang malah pengguna produk itu turut terdedah kepada pelbagai penyakit kronik.

Menurut Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai, penjualan bahan dan produk itu juga salah mengikut Akta Racun 1952 dan Peraturan-peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.

Mereka yang didapati bersalah menjual dan mengedar produk itu serta cecair nikoton untuk kegunaan rokok elektronik boleh didenda tidak melebihi RM3,000 atau penjara tidak melebihi satu tahun atau kedua-dua sekali.

Biarpun salah di sisi undang-undang, Liow mengakui penjualan rokok elektronik itu sukar dikawal berikutan orang ramai didapati melakukan pembelian menerusi Internet.

Rokok elektronik atau e-rokok ini kononnya bertujuan membuang tabiat merokok secara beransur-ansur.

Namun, jelas Liow, tanpa disedari mereka yang menggunakannya terdedah kepada kepada pelbagai jenis penyakit kronik.