PUTRAJAYA: Penggunaan frasa "Keling" pada program Temu Anwar Dialog Mahasiswa di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Tanjung Malim, Perak Khamis lepas hanyalah merujuk kepada petikan daripada buku bertajuk Hikayat Hang Tuah, dan tidak bermaksud untuk menghina mana-mana pihak, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata istilah "Keling" itu diambil daripada buku berkenaan yang menceritakan bahawa Hang Tuah mempunyai penguasaan bahasa yang banyak termasuk bahasa Melayu, bahasa Arab, Siam dan bahasa Keling yang diambil daripada istilah Kalinga.

"Sekarang, istilah Keling tidak disenangi banyak pihak, jadi saya tak gunakan. Saya cuma (ambil) quotes dalam buku itu.

"Kalau ada yang salah faham, saya minta maaf, bukan niat saya. Saya orang terakhir yang melontarkan ekspresi menghina kaum dan agama," katanya pada Sesi Dialog Perdana Menteri bersama Ketua Pengarang serta Pengarang-Pengarang Kanan Media Elektronik, Media Cetak dan Dalam Talian di sini hari ini.

-- BERNAMA