KUANTAN: Dua penghibur legenda tanah air, Luciana Francissca Lucian G Peter atau lebih popular dengan nama Francissca Peter dan Siti Fairuz Sheikh Mohamed kini bergelar Datuk, selepas menerima Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) yang disampaikan Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah.

Penganugerahan darjah kebesaran dan pingat Pahang itu, diadakan di Balairung Seri Istana Abu Bakar pada Isnin, bersempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Ke-63 Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Terdahulu Bernama melaporkan, dua Ketua Setiausaha (KSU) kementerian mendahulu senarai 99 penerima darjah kebesaran dan pingat Pahang sempena Ulang Tahun Keputeraan itu.

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan mencemar duli berangkat ke majlis santapan yang berlangsung selepas istiadat pengurniaan berkenaan selesai.

Turut hadir ialah Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan barisan pentadbiran negeri diketuai Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

KSU Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Lokman Hakim Ali dan KSU Kementerian Luar, Datuk Amran Mohamed Zin antara sembilan penerima darjah Sri Sultan Ahmad Shah Pahang (SSAP) yang membawa gelaran Datuk Seri bersama-sama Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain dan Ketua Polis Pahang Datuk Ramli Mohamed Yoosuf.

Turut menerima SSAP ialah Pengerusi Touch Group Holdings Sdn Bhd, Raja Datuk Mufik Affandi Raja Khalid; Pengasas Bersama dan Rakan Kongsi Pengurusan Navis Capital Partners Limited, Nicholas Rupert Heylett Bloy; Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd, Datuk Zainal Abidin Ahmad; Pengarah Urusan Oil Hub Explorer Sdn Bhd, Chia Siea Chok dan Pengarah Urusan Muda Awam Sdn Bhd, Yew Ah Chai.

Pada istiadat itu, empat individu menerima darjah Sri Indera Mahkota Pahang (SIMP) yang membawa gelaran Datuk iaitu Pengerusi Jemaah Tertinggi Badan Kebajikan Keluarga Angkatan Tentera (BAKAT) Laut, Puan Sri Maslina Ismail; Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pengurusan dan Profesionalisme) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM); Datuk Junipah Wandi; Ketua UMNO Bahagian Paya Besar, Datuk Ahmad Tajuddin Sulaiman dan Presiden yang juga CEO Tenaga Nasional Berhad, Datuk Ir Baharin Din.

Sultan Pahang juga berkenan mengurniakan darjah Sultan Ahmad Shah Pahang (DSAP) yang membawa gelaran Datuk kepada 13 penerima antaranya Pengarah Hartapac Sdn Bhd, Datin Seri Sian Rahimah Abdullah; Pengarah WQ Medic Sdn Bhd, Datin Seri Dr Noraini Abd Jalil; Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke United Kingdom of Great Britain dan Ireland Utara, Datuk Zakri Jaafar dan Timbalan KSU (Tenaga) Kementerian Tenaga dan Sumber Asli, Mohamad Razif Abd Mubin serta Ketua Pengarah (KP) Institut Penyelidikan Sains dan Teknologi Pertahanan, Aminudin Yahaya.

Turut menerima DSAP ialah CEO Affin Hwang Investment Bank, Mona Suraya Kamaruddin; Setiausaha Bahagian Pengurusan Aset Awam Kementerian Kewangan, Ahmad Suhaimi Endut; Setiausaha Sulit Kanan Menteri Kewangan, Wan Murtadza Wan Mahmud; Pengarah Platinum Victory Development Sdn Bhd, Shaik Ahmad Sufian Shaik Kamal Farid dan Pengarah Eksekutif dan KP Eksekutif HSBC Malaysia Berhad, Omar Siddiq Amin Noer Rashid.

Seramai 24 individu menerima Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) yang juga membawa gelaran Datuk, didahului oleh Ketua Komunikasi Korporat Istana, Negara Muzli Mohamad Zin; Timbalan Pengerusi Lembaga Pelabuhan Kuantan, Quek Tai Seong; Pengerusi Eksekutif Suruhanjaya Koperasi Malaysia, Zazali Haron; CEO Kumpulan FGV Holdings Bhd, Mohd Nazrul Izam Mansor; KP Kesihatan Markas Pemerintah Medan Barat Tentera Darat, Brig Jen Dr Amran Amir Hamzah dan penganalisis sukan, Dr Pekan Ramli.

Turut menerima DIMP ialah Ketua Penolong Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman, SAC Ghazali Daud; Ketua Penolong Pengarah D7 Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, SAC Mohamad Noor Yusof Ali; Pengarah Kastam Pahang, Abdul Ghafar Mohamad; Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Pahang, Zulkhairi Zainol Abidin dan Ahli Dewan Negara, Senator Juhanis Abdul Aziz.

Penerima DIMP lain ialah Pengarah Institut Islam Hadhari Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof Dr Fariza Md Sham dan Ketua MIC Rompin, L. Parianan.

Empat bekas pemain bola sepak dan jurulatih juga menerima DIMP iaitu Dollah Salleh yang kini Ketua Jurulatih Interim Pahang, Zainal Abidin Hassan (Ketua Jurulatih Penang FC), Ahmad Yusoff (Jurulatih Sri Pahang Football Club) dan Ahmad Yunus Mohd Alif.

Pada istiadat itu, Sultan Pahang juga berkenan mengurniakan darjah Setia Ahmad Shah Pahang (SAP) kepada dua penerima, darjah Setia Mahkota Pahang (SMP) kepada enam penerima, darjah Ahli Ahmad Shah Pahang (AAP) kepada empat penerima, darjah Ahli Mahkota Pahang (AMP) kepada 10 penerima, Pingat Khidmat Cemerlang (lapan penerima), Pingat Kelakuan Terpuji (10 penerima) dan Pingat Jasa Kebaktian (sembilan penerima).