Skip to main content

Malaysia

Pengkritik tegar FWCMS, Andy Hall diperintah bayar RM500,000 akibat fitnah

Andy Hall_andyjhall.org
Dalam penghakiman tersebut juga, Hall juga dilarang menerbitkan kenyataan berunsur fitnah yang sama dan diperintah memohon maaf kepada Muthusamy menerusi media cetak utama serta di Facebook dan Instagram. - Gambar fail
Advertisement

KUALA LUMPUR: Aktivis hak migran Andy Hall diperintah Mahkamah Tinggi Johor Bahru membayar ganti rugi berjumlah RM500,000 susulan dua saman fitnah yang difailkan seorang pengarah syarikat pengambilan pekerja asing empat tahun lalu.

Pesuruhjaya Kehakiman Noradura Hamzah memutuskan Pengarah Embun Karisma Resources, R Muthusamy berjaya membuktikan tuntutannya terhadap Hall, yang tidak hadir di mahkamah untuk membela diri.

Muthusamy, yang diwakili GK Sritharan dan Chai Yi Ng, satu-satunya saksi pihak plaintif dalam perbicaraan dua saman berkenaan yang digabungkan.

Dalam alasan penghakiman secara lisan, Noradura memaklumkan jumlah ganti rugi yang lebih tinggi diberikan kerana tuduhan rasuah dan sogokan terhadap Muthusamy adalah serius dengan mahkamah turut memerintahkan Hall membayar kos RM100,000.

Sebelum ini, Andy Hall yang didakwa mengugut wartawan Bangladesh serta menggunakan bahasa berunsur perkauman dan menghina telah kerap kali mengeluarkan pelbagai dakwaan negatif dan kritikan terhadap Foreign Worker Central Management System (FWCMS) yang dibangunkan oleh Bestinet Sdn. Bhd. menerusi blog miliknya.

Dalam blog tersebut, Andy mengaitkan Bestinet dengan dakwaan mengenai sindiket dan monopoli, ketelusan sistem serta penelitian antarabangsa, sedangkan FWCMS pernah memenangi Anugerah World Summit (WSA) di Vienna, Austria, dan diiktiraf sebagai salah satu daripada 40 projek digital terbaik dunia dalam kategori Kerajaan dan Penglibatan Rakyat (Government and Citizen Engagement).

Dalam penghakiman tersebut juga, Hall juga dilarang menerbitkan kenyataan berunsur fitnah yang sama dan diperintah memohon maaf kepada Muthusamy menerusi media cetak utama serta di Facebook dan Instagram.

Dalam saman pertama difailkan pada 12 April 2022, Muthusamy mendakwa Hall menghantar e-mel pada 6 Jan kepada sekurang-kurangnya 40 penerima, termasuk syarikat, jabatan kerajaan dan badan bukan kerajaan (NGO).

Menurut Muthusamy, e-mel itu menuduhnya cuba menyogok Hall dengan menawarkan kerja perundingan di ATA, sebuah syarikat terkemuka dalam perkhidmatan pembuatan elektronik.

Muthusamy mendakwa Hall turut menyatakan dalam e-mel itu beliau cuba mendapatkan maklumat mengenai ‘berapa banyak yang perlu dibayar untuk menutup mulut Andy Hall’.

Susulan itu, Muthusamy menghantar surat tuntutan kepada Hall pada 14 Feb.

Bagaimanapun, Muthusamy mendakwa Hall kemudian mengeluarkan satu lagi kenyataan berunsur fitnah dalam artikel bertajuk “See you in court: Hall dares libel claimant in Dyson force labour controversy”, yang diterbitkan Focus Malaysia pada 17 Feb.

Dalam kedua-dua saman itu, Muthusamy mendakwa kenyataan dalam e-mel Hall dan laporan Focus Malaysia adalah palsu serta tidak berasas.

Beliau mendakwa perkataan digunakan bersifat sensasi, memalukan, menyinggung dan berniat jahat sehingga menggambarkannya sebagai terbabit dalam kegiatan menyalahi undang-undang serta jenayah, sekali gus menjejaskan reputasinya di dalam dan luar negara.

Must Watch Video

Advertisement