Penglibatan institusi kewangan yang menandatangani Ikrar Integriti Korporat (CIP) masih kurang, ujar Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Mustafar Ali.

Ia berikutan hanya 0.1 peratus sahaja daripada institusi itu yang melakukan insiatif pencegahan rasuah oleh suruhanjaya berkenaan.

"Dalam institusi kewangan, masih banyak ruang dan peluang untuk perkara ini ditekankan. Setakat sekarang ini kalau dibandingkan dengan institusi kewangan, saya boleh katakan 0.1 peratus sahaja yang telah bersama-sama dalam menandatangani CIP," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat SPRM di sini, hari ini.

Beliau berkata, SPRM telah berbincang dengan pihak berkuasa tertentu termasuk perbankan bagi memastikan lebih banyak institusi kewangan menandatangani CIP.

"Kita juga telah berbincang dengan Bank Negara misalnya supaya elemen-elemen seperti ini dijadikan sebagai satu perkara yang bukan saya kata wajib tetapi satu perkara yang sangat digalakkan," katanya.

Selain institusi kewangan, masih banyak syarikat dari Perusahan Kecil dan Sederhana (PKS) masih belum berbuat demikian.

"Kita ada ratusan ribu syarikat SME dan SMI , daripada jumlah itu hanya 662 syarikat kita nampak sambutan itu masih belum menggalakkan. Kenapa tidak mereka datang ke depan , bersama-sama kita buat engagement dan kita bantu untuk pemantapan integriti pencegahan rasuah dalam syarikat itu," jelasnya.

Setakat 31 Mac lalu, 163 syarikat dan agensi awam telah menandatangani CIP, manakala, 662 syarikat swasta turut melakukan inisiatif berkenaan, sementara 25 agensi lagi melibatkan Syarikat Senarai Awam (PLC).

Mustafar menegaskan, CIP adalah inisiatif yang dilakukan secara sukarea dan bukan paksaan terhadap mana-mana sektor awam atau swasta.

"CIP bukan merupakan suatu yang mandatori, ia merupakan inisiatif asas sukarela. Namun walaupun sukarela, kita galakkan supaya diambil perhatian dan dilaksanakan oleh corporation tertentu," ujar Mustafar.

Kataya, CIP mampu memastikan pengurusan perniagaan dapat dilakukan dengan baik dengan menekankan aspek integriti dalam sesebuah syarikat.

"CIP turut menggalakkan pertumbuhan pasaran, produktiviti, dan daya saing dalam perniagaan," katanya lagi.

TAMAT////