ALOR SETAR: Pengamal perubatan swasta berharap kerajaan dapat meningkatkan dos vaksin kepada klinik swasta yang berfungsi sebagai pusat pemberian vaksin (PPV).

Langkah itu dapat meningkatkan akses vaksin dan mempercepat proses mencapai imuniti kelompok.

Menurut pengamal perubatan swasta, Datuk Dr Cheah Soon Hai, peranan klinik swasta sebagai PPV ketika ini disifatkan membantu mencapai sasaran kerajaan.

Setakat ini 700 klinik swasta berfungsi sebagai PPV bagi fasa kedua dan ketiga Program Imunisasi COVID-19 Kerajaan (PICK).

"Kita berharap kerajaan akan melonggarkan syarat-syarat seperti membenarkan 'walk-in' supaya kita boleh memberikan lebih banyak suntikan kalau ada bekalan yang cukup.

"Memang kita boleh. Minggu pertama kita beri suntikan kepada mereka yang berusia 60 tahun ke atas. Jika dipersetujui kerajaan semua yang hadir tidak perlu tunggu lama, kita terus memberikan vaksin dan daftar mereka sebagai penerima," katanya.

Proses suntikan di klinik-klinik swasta juga disifatkan lebih selesa.

Ia juga mengurangkan risiko penularan apabila tidak berkumpul di tempat yang sesak.