Skip to main content

Malaysia

Penglibatan PKS penting dalam rantaian bekalan JS-SEZ - Exco

ISKANDAR PUTERI, 6 Mei -- Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Johor, Lee Ting Han menjawab soalan lisan pada Mesyuarat Pertama Bagi Penggal Persidangan Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor Ke-15 di Bangunan Sultan Ismail hari ini.  --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Lee Ting Han berkata, kerajaan Johor mahu memastikan PKS tempatan menjadi sebahagian daripada rantaian bekalan global JS-SEZ menerusi pembangunan infrastruktur serta pelaksanaan dasar yang membolehkan manfaat pelaburan diperluaskan ke Johor Tengah. Gambar Bernama)
Advertisement

YONG PENG: Penglibatan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dalam rantaian bekalan global Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) penting bagi memastikan limpahan ekonomi turut dirasai di Johor Tengah, kata Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Johor, Lee Ting Han.

Beliau berkata, walaupun JS-SEZ baharu mula menunjukkan impak positif kepada ekonomi Johor, kerajaan negeri kini memberi tumpuan untuk memastikan manfaat pertumbuhan itu diperluaskan ke daerah-daerah lain seperti Kluang, Batu Pahat, Muar dan Pontian.

"Apa yang kita fokuskan adalah supaya projek-projek besar itu direalisasikan secepat mungkin di dalam zon-zon berkenaan.

"Seterusnya, macam mana kita dapat pastikan PKS tempatan dilibatkan dalam bekalan rantaian global, macam mana kita dapat pastikan infrastruktur asas kita dapat disambungkan ke kawasan luar bandar," katanya kepada Astro AWANI pada Isnin.

Menurut Lee, antara langkah yang sedang dilaksanakan termasuk pelebaran Lebuhraya Utara-Selatan serta pembinaan West Coast Expressway bagi menghubungkan Johor Bahru dan Pelabuhan Tanjung Pelepas dengan daerah-daerah di Johor Tengah.

Beliau berkata, jaringan infrastruktur itu akan memudahkan PKS di kawasan seperti Kluang, Batu Pahat dan Muar membekalkan produk serta perkhidmatan kepada syarikat multinasional yang beroperasi dalam JS-SEZ.

Lee berkata, usaha itu memerlukan pendekatan jangka panjang serta dasar yang memastikan syarikat yang menerima insentif daripada kerajaan Persekutuan atau kerajaan negeri turut memberi manfaat kepada PKS tempatan.

JS-SEZ merangkumi sembilan kawasan pembangunan utama yang merentasi enam daerah di Johor, iaitu Johor Bahru, Iskandar Puteri, Kulai, Pasir Gudang, Pontian dan Pengerang.

Pada Khamis, Menteri Ekonomi, Akmal Nasir memaklumkan, zon ekonomi khas itu merekodkan pelaburan diluluskan bernilai RM76.98 bilion sepanjang tahun lalu, dengan 57 peratus daripada jumlah pelaburan terkumpul kini telah memasuki peringkat pelaksanaan.

Must Watch Video

Advertisement