MALAYSIA
Pengorbanan pahlawan negara bentuk asas keamanan, kemakmuran - Fadillah

Fadillah turut merakamkan penghargaan kepada anggota pasukan keselamatan yang masih berkhidmat dan menyeru mereka terus menjunjung amanah dengan penuh rasa tanggungjawab dan semangat cintakan tanah air. - Foto Facebook Fadillah
KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof menzahirkan penghargaan tertinggi kepada pahlawan dan wira negara yang telah mempertaruhkan nyawa demi mempertahankan kedaulatan tanah air sejak era penjajahan sehingga ke hari ini.
Menerusi hantaran di Facebook sempena sambutan Hari Pahlawan 2025, Fadillah berkata tanggal 31 Julai setiap tahun merupakan manifestasi penghormatan tertinggi negara kepada anggota pasukan keselamatan dan pertahanan negara.
"Kita tidak akan pernah lupa bagaimana darah, keringat dan nyawa dipertaruhkan demi memastikan tanah air ini kekal merdeka, berdaulat dan aman.
"Daripada perjuangan menentang penjajah, ancaman komunis, sehingga ke operasi pengamanan di dalam dan luar negara, setiap langkah wira-wira negara ialah kisah keberanian yang tiada ternilai," katanya.Beliau berkata pengorbanan anggota pasukan keselamatan dan pertahanan negara telah membentuk asas kepada keamanan dan kemakmuran yang telah dikecapi hari ini.
Fadillah turut merakamkan penghargaan kepada para anggota yang masih berkhidmat dan menyeru mereka terus menjunjung amanah dengan penuh rasa tanggungjawab dan semangat cintakan tanah air.
"Negara yang merdeka dan berdaulat ini tidak akan dapat kita kecapi tanpa semangat juang, disiplin dan kesetiaan wira-wira negara. Terima kasih, perwira negara. Malaysia tetap utuh kerana pengorbanan kalian semua.
"Buat para pahlawan yang telah pergi, doa kami sentiasa mengiringi. Berjuang di medan tempur, demi negara mereka jujur dan akur. Semoga semangat perjuangan dan cinta kepada tanah air terus mekar di jiwa rakyat Malaysia," katanya.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami