Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Kebangsaan (NIOSH) menegaskan bahawa langkah penguatkuasaan yang lebih kerap dan berkesan mampu mencegah berlakunya pencemaran sisa toksik.

Pengerusinya, Tan Sri Lee Lam Thye berkata pihak berkaitan termasuk Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) perlu berganding bahu menjalankan pemantauan berkala terhadap operasi kilang-kilang.

“Selain pemantauan berjadual (pihak berkaitan) boleh juga melakukan pemeriksaan mengejut di premis-premis terbabit.

“Sampel perlu diambil setiap kali pemeriksaan dijalankan agar dapat dipastikan bahan buangan pepejal, cecair dan gas tersebut tidak mengandungi sisa toksik dan memenuhi akta yang ditetapkan termasuk Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI, pada Khamis.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai krisis pencemaran kimia yang berlaku di Sungai Kim Kim, Pasir Gudang sejak seminggu lalu.

BACA: Sungai Kim Kim: Bencana ini bukannya banjir! - MP Pasir Gudang

BACA: Pencemaran bahan kimia: Hentikan segera operasi kilang!


Menyifatkan insiden tersebut sebagai menyayat hati, beliau berkata aspek pemantauan memainkan peranan penting dalam memastikan pihak pengusaha kilang mematuhi standard operasi prosedur (SOP) yang telah dikuatkuasakan.

Bagaimanapun, beliau berpendapat pemantauan tidak dapat dijalankan secara konsisten berikutan jumlah kakitangan yang tidak mencukupi sehingga menjurus kepada berlakunya pencemaran sisa toksik.

“Jadi saya berpendapat perlu untuk pihak swasta sekiranya boleh menyediakan peralatan-peralatan yang canggih.

“Badan-badan bukan kerajaan (NGO) boleh menjadi mata dan telinga bagi memantau sebarang aktiviti yang mencurigakan. Segera laporkan kepada pihak berkuasa jika ada pihak yang membuang bahan toksik di tempat yang tidak sepatutnya,” katanya.

Dalam pada itu, aktivis masyarakat itu turut menyarankan supaya kempen kesedaran dijalankan bagi menguar-uarkan mengenai bahaya membuang bahan terjadual bertoksik.