MALAYSIA
Pengumuman PM langkah strategik, ringankan beban rakyat - NCCIM

Gobalakrishnan turut memuji keputusan kerajaan menggandakan peruntukan program Jualan Rahmah Madani kepada RM600 juta, yang akan diperluaskan ke semua 600 kawasan DUN dengan penawaran barangan keperluan pada harga subsidi. - Gambar fail/NCCIM
KUALA LUMPUR: Dewan Perniagaan dan Perindustrian Kebangsaan Malaysia (NCCIM) menyambut baik siri inisiatif strategik dan berfokuskan rakyat yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam.
Dalam satu kenyataan, Presiden NCCIM Datuk Seri N Gobalakrishnan menyifatkan inisiatif itu sebagai langkah tepat dan memberi impak besar kepada rakyat serta komuniti perniagaan.
Malah, pihaknya menyokong penuh keputusan kerajaan untuk menurunkan harga petrol RON95 kepada RM1.99 seliter, yang dijangka dapat mengurangkan tekanan kos terutamanya kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS), pengendali pengangkutan dan sektor yang bergantung kepada logistik.
“Langkah ini akan membantu meredakan tekanan inflasi, mengurangkan kos operasi dan merangsang penggunaan domestik, sekali gus memperkukuh daya tahan ekonomi negara,” katanya.Mengenai reformasi pasaran buruh, NCCIM menyambut baik langkah kerajaan menaikkan gaji minimum negara kepada RM1,700 bermula Ogos ini, serta pelaksanaan gaji kehidupan wajar (living wage) sebanyak RM3,100 oleh syarikat berkaitan kerajaan (GLC), yang bakal memberi manfaat kepada 153,000 pekerja di seluruh negara.
“Kadar pengangguran negara telah menurun kepada 3.0 peratus setakat Mei 2025, iaitu paras terendah dalam tempoh lebih sedekad.
"Langkah ini mencerminkan komitmen kerajaan dalam meningkatkan kesejahteraan rakyat,” kata Gobalakrishnan.
Beliau turut memuji keputusan kerajaan menggandakan peruntukan program Jualan Rahmah Madani kepada RM600 juta, yang akan diperluaskan ke semua 600 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) dengan penawaran barangan keperluan pada harga subsidi.
Dalam aspek infrastruktur, NCCIM menyokong keputusan kerajaan mengekalkan kadar tol di 10 lebuh raya utama, yang disifatkan sebagai pendekatan seimbang antara pembangunan dan kemampuan rakyat.
Dewan itu turut menyambut baik pengisytiharan 15 September sebagai cuti umum tambahan sempena Hari Malaysia, yang dijangka dapat memupuk perpaduan nasional dan merangsang pelancongan domestik.
“NCCIM bersedia bekerjasama rapat dengan kerajaan dalam merangka dasar yang inklusif, mampan dan berdaya saing. Inisiatif yang diumumkan menunjukkan keprihatinan kerajaan terhadap keperluan rakyat dan komuniti perniagaan,” tambahnya.
Dengan pembentangan Belanjawan MADANI 2026 dijadualkan pada Oktober ini, NCCIM yakin momentum berfokuskan rakyat akan terus diperkukuh dalam usaha menuju kemakmuran bersama dan kemajuan negara yang berterusan.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami