Rakyat Langkawi diminta bertenang dan membuat keputusan dengan bijak dalam isu pemilihan wakil Parlimen dan DUN kawasan itu pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) nanti.

Ketua Pemuda UMNO Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin berkata, keyakinannya kepada pertimbangan waras dan kebijakan pengundi juga menjadi faktor Langkawi akan mendapat pemimpin yang benar-benar faham kehendak rakyat.

"Saya mohon agar rakyat Langkawi membuat pilhan yang tepat dan juga rasional. Jangan kita memilih berdasarkan kepada nostalgia, hakikatnya kerajaan yang sedia ada sekarang, wakil rakyat yang ada sekarang membuat kerja dengan begitu baik.

"Banyak pembangunan yang telah kita bawa di Langkawi dan banyak perkara yang kita selesaikan. Saya mohon agar rakyat Langkawi untuk tidak salah membuat pilihan pada waktu dan ketika ini.

"Kalau salah, mereka akan sendiri menjadi mangsa untuk lima tahun akan datang. Saya yakin rakyat Langkawi bijak dan juga rasional dalam membuat pilihan," katanya ketika ditemui di sini, pada Khamis.

BACA: Tun M yakin ambil 7,000 undi daripada majoriti BN di Langkawi

BACA:
'Pengundi tak mahu Tun M ubah Langkawi jadi Hawaii' - Penganalisis

Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Tun Dr Mahathir Mohamad diumum akan bertanding di Parlimen Langkawi pada PRU kali ini.

Beliau akan menentang penyandang kerusi itu iaitu Ketua UMNO Bahagian Langkawi, Datuk Nawawi Ahmad dan Yang Dipertua Pas Kawasan Langkawi, Zubir Ahmad.


Dalam pada itu, tegas Shaiful, wakil rakyat di Langkawi seharusnya seorang yang masih sihat bertenaga dan boleh bekerja sepenuh masa berbanding individu yang mempunyai reputasi tertentu.

"Pilih calon yang ada jasa dan menyelesaikan isu Langkawi selama ini selain responsif kepada setiap masalah rakyat.

"Saya cadangkan rakyat Langkawi melihat pembangunan dan prospek pembangunan yang bakal dibawa Barisan Nasional (BN).

"Hanya BN mempunyai kepimpinan yang stabil serta dinamik serta mampu membawa Langkawi ke tahap cemerlang dan gemilang," jelasnya.

Dr Mahathir sebelum ini yakin mengambil sekurang-kurangnya 7,000 majoriti undi yang dimenangi BN di Langkawi semasa PRU13, pada PRU14 kali ini.

Beliau memberitahu, rakyat kini semakin celik dan menunjukkan minat untuk turut serta di dalam pilihan raya.