Pengundi-pengundi di Parlimen Batu masih kurang jelas dengan apa yang menyebabkan penolakan pencalonan Ahli Parlimen mereka sebelum ini iaitu Tian Chua.

Namun begitu, rata-rata yang ditemui berasa terkejut dan kecewa dengan penolakan tersebut.

"Tian Chua sudah lama menjadi wakil rakyat kami. Jadi, saya sebagai pengundi di sini berasa sedikit kecewa kerana saya merasakan beliau telah menabur khidmat kepada kami dengan cemerlang," kata Badiuzzaman Ali, salah seorang pengundi di sana.


Tambahnya, beliau berharap walau siapa pun yang bakal dipilih pada 9 Mei nanti akan dapat menggalas tanggungjawab sebagai Ahli Parlimen dengan baik.

"Di Kuala Lumpur, cabaran sebagai wakil rakyat lebih mencabar kerana tiada Dewan Undangan Negeri di sini seperti di kawasan-kawasan lain," katanya.

BACA: SPR saran Tian Chua kemuka petisyen di mahkamah

Selain Badiuzzaman, seorang lagi pengundi, Mohd Nor Hisan Mat Rodin berkata dia terkejut dengan berita penolakan pencalonan Tian Chua.

"Sebenarnya, saya pun kurang pasti apa yang terjadi. Apa yang saya tahu, Tian Chua memang pernah membantu kami dari segi masalah setempat.

"Jadi, diharap bakal Ahli Parlimen Batu yang baharu akan menjadi wakil rakyat yang memahami masalah rakyat dan sering turun ke padang," katanya.

Pandangan tersebut turut dikongsi seorang lagi pengundi Batu iaitu Azhari Md Deraman yang menginginkan wakil rakyat yang mengambil tahu masalah rakyat dan tidak hanya sibuk berpolitik.

"Banyak ahli politik hanya tahu cakap tetapi tidak memberi khidmat kepada masyarakat.

"Saya tidak kisah Tian Chua atau sesiapapun, bila dah jadi wakil rakyat kena betul-betul amanah dalam memberi khidmat," kata Azhari.

Calon Pakatan Harapan, Chua Tian Chang atau Tian Chua difahamkan tidak layak bertanding di kerusi parlimen Batu berikutan kes Mahkamah Tinggi Shah Alam melibatkan denda RM2,000 pada tahun 2013 atas kesalahan menghina polis.

Tian Chua sebelum ini memenangi kerusi Parlimen Batu pada dua pilihan raya sebelum ini menewaskan calon Barisan Nasional (BN).

Selepas pencalonan Tian Chua ditolak ketika proses penamaan calon pada Sabtu, Parlimen Batu akan menyaksikan pertembungan empat penjuru antara Naib Presiden Gerakan Datuk Dr Dominic Lau dari Barisan Nasional, Azhar Yahya dari Pas serta V M Panjamothy Muthusamy dan P Prabakaran yang bertanding atas tiket Bebas.